mutakhir

Sita 17 produk guna logo halal palsu [METROTV]

Oleh Mohd Hilmie Hussin

SEBANYAK 17 produk daripada syarikat pengeluar makanan di Merlimau, Jasin, dirampas selepas didapati menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) secara haram, sejak lebih setahun lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri, Jaiya Abu, berkata rampasan itu dilakukan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam serbuan 12 tengah hari semalam.

“Rampasan membabitkan ribuan peket makanan daripada 17 jenis produk bernilai RM5,052.72 daripada premis pengeluar terbabit.

“Semua barangan yang menggunakan logo halal termasuk stiker label produk makanan yang mempamer logo halal disita,” katanya pada sidang media di Setor Ekhibit KPDNKK negeri di Melaka, hari ini.

Jaiya berkata, pihaknya memberi amaran keras kepada pengusaha untuk tidak sewenang-wenangnya menggunakan logo halal sehingga mengelirukan masyarakat beragama Islam.

Beliau berkata, produk dirampas antaranya pelbagai jenis mi, makanan bijirin koko dan tepung sadur ayam yang dijual secara berleluasa di pasar raya.

Dalam pada itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIM, Noorhafizah Ibrahim berkata, syarikat berkenaan sebelum ini pernah mendapatkan pensijilan halal JAKIM bagi tempoh 1 Disember 2016 hingga 30 November 2018.

“Bagaimanapun, dalam pemeriksaan berkala yang dilakukan, kami dapati syarikat itu gagal mematuhi syarat ditetapkan dan melanggar beberapa ketidakaturan sijil halal.

“Berikutan itu, sijil terbabit ditarik balik pada 17 April 2017,” katanya.

Disiarkan pada: July 6, 2018 @ 5:54pm
d