mutakhir

Khazanah perlu kembali kepada tujuan asal penubuhan

Oleh Azura Abas; Syed Umar Ariff; Mohd Husni Mohd Noor dan Mohd Iskandar Ibrahim

TUN Dr Mahathir mahu sayap pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) kembali kepada tujuan asal penubuhannya iaitu meningkatkan pemilikan saham Bumiputera.

Perdana Menteri berkata, beliau mendapati, Khazanah dilihat melakukan perkara 'pelik' termasuk terbabit dalam pemilikan perumahan dan mengambil alih syarikat.

“Penubuhan asal Khazanah pada awalnya adalah untuk membeli saham yang diperuntukkan kepada Bumiputera.

“Ini kerana kebiasaannya Bumiputera mudah untuk menjual balik saham mereka kepada orang lain. Bagi menghalang mereka (Bumiputera) berbuat demikian, kerajaan tubuhkan Khazanah,” katanya pada sidang media sejurus mempengerusikan Majlis Presiden Pakatan Harapan di Putrajaya, hari ini.

Katanya, beliau juga mendapati Khazanah turut menguasai pegangan saham mereka sama ada ia membabitkan saham Bumiputera atau sebaliknya.

Dr Mahathir dalam siri temubual bersama laman web perniagaan Investvine, baru-baru ini menyatakan, kerajaan akan menilai semula pemilikan saham Khazanah dalam beberapa syarikat bagi mengembalikan semula peranan asal sayap pelaburan kerajaan itu.

Disiarkan pada: July 6, 2018 @ 6:15pm
d