mutakhir

Lari daripada serbuan imigresen rupanya

Oleh Rosli Ilham

LELAKI Warga Thailand yang ditemui mati di belakang rumah usang di Jalan Teratai, Kampung Alur Tembesu, Dungun, hari ini dikatakan melarikan selepas kedai makan tempatnya bekerja diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri dalam operasi pada 11 malam tadi.

Lelaki berkenaan, Muhammatromli Adae, 44, yang bekerja sebagai tukang masak, dipercayai rebah di lokasi kejadian ketika melarikan diri daripada serbuan itu.

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terlungkup oleh warga emas, Sulong Abas, 79, pada 10.30 pagi hari ini.

Polis yang menerima panggilan bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan tidak lama kemudian.

Sumber berkata, hasil siasatan polis mendapati, mangsa yang tiada pengenalan diri itu mempunyai kesan darah di hidung yang patah.

Katanya, polis turut menemui telefon bimbit dan wang tunai RM20 pada mayat mangsa.

“Pada 2.30 petang hari ini, pengurus kedai makan berusia 26 tahun menghubungi polis dan percaya mangsa adalah pekerjanya.

“Lelaki itu mendakwa premisnya dikunjungi kakitangan JIM dan selepas beberapa kali menghubungi, mangsa tidak menjawab telefonnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mayat mangsa ditemui warga emas yang tinggal bersebelahan dengan rumah berkenaan.

Beliau berkata, anak warga emas itu menghubungi Hospital Dungun sebelum pegawai perubatan yang datang mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Polis membawa mayat mangsa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

“Sepasukan anggota forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri menjalankan siasatan di lokasi terbabit,” katanya.

Sementara itu, Sulong berkata, pada mulanya dia menyangka lelaki terbabit mabuk dan tidak mengganggunya.

Bagaimanapun, katanya, dia terkejut selepas pegawai perubatan mengesahkan dia sudah tidak bernyawa lagi.

“Sebelum itu, saya membuka tingkap rumah dan ternampak kelibat mangsa dalam keadaan terlungkup.

“Saya ingatkan pemuda tidak dikenali itu tidur dan keadaan itu merisaukan saya sebelum saya ke rumah sebelah memaklumkan kepada anak.

“Anak saya, Noor Hisham Mat Zin, 44, menghampiri pemuda itu dan sebaik mendapati dia tidak bergerak, anak segera menghubungi Hospital Dungun,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sulong berkata, pegawai perubatan kemudian membuat pemeriksaan dan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia sebelum anaknya menghubungi polis.

Katanya, dia tidak tahu punca kematian pemuda berkenaan kerana sepanjang malam tadi dia dan keluarga tidak mendengar sebarang bunyi bising di lokasi kejadian.

Disiarkan pada: July 6, 2018 @ 6:53pm
d