mutakhir

SPRM rampas 3,390 beg baja padi

Oleh Siti Nur Mas Erah Amran

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas 3,390 beg baja padi bernilai RM180,534 dalam serbuan di kilang beras di Kampung Sayur di Bakri, Muar, hari ini.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam satu kenyataan berkata, baja padi dirampas di gudang premis berkenaan adalah baja dibekalkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menerusi kontrak kerajaan di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP).

“Dalam serbuan dijalankan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada 9.15 pagi, kami dapati baja berkenaan disimpan tanpa lesen sah untuk menyimpan barang kawalan.

“Pihak NAFAS melakukan pengecaman dan mengesahkan baja sebatian terbabit adalah di bawah SBPKP dengan harga antara RM39.50 sehingga RM60 seguni.

“Anak pemilik kilang ditahan dan akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 kerana cuba memberi rasuah sebanyak RM5,000 manakala keterangan empat pekerja turut diambil,” katanya.

Mengulas lanjut, kementerian menegaskan operasi terbabit berjaya hasil intipan pihak penguat kuasa selama empat bulan.

“Baja terbabit dibiayai menerusi peruntukan Kerajaan Persekutuan dan dikhaskan untuk kegunaan pesawah padi di seluruh negara.

“Hasil rampasan akan dipindahkan ke satu lokasi simpanan dikawal pihak keselamatan dan kita akan terus bekerjasama dengan SPRM dan KPDNKK bagi memastikan ketirisan bantuan subsidi dapat dihapuskan.

“Kita akan siasat siapa yang terbabit dalam kegiatan penjualan baja di pasaran gelap dan memastikan hak baja ini dikembalikan kepada pesawah,” katanya.

Disiarkan pada: July 6, 2018 @ 9:00pm
d