mutakhir

Dua maut kereta rempuh bas

Oleh Khalid Latip

DUA maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan bas ekspres di Kilometer 57, Jalan Betong-Sarikei berhampiran Bukit Perabun, Saratok, malam tadi.

Dalam kejadian 10.30 malam itu, pemandu kereta, Luk Chung Hee, 48, dan penumpangnya, Serafina Forrin Sabbas, 26, maut di lokasi kejadian selepas tersepit di tempat duduk masing-masing.

Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintendan Mordani Tanin berkata, ketika kejadian, mereka dalam perjalanan dari arah Sarikei menuju Betong.

Katanya, siasatan awal mendapati, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan gagal mengawal kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Dalam masa sama, bas ekspres yang dinaiki 14 penumpang bersama dua pemandu (termasuk pemandu ganti) di laluan bertentangan itu gagal untuk mengelak menyebabkan dua kenderaan terbabit bertembung.

“Akibat rempuhan kuat itu, kereta yang dipandu mangsa terperosok di depan bas menyebabkan pemandu dan penumpangnya tersepit,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Mordani berkata, pasukan perubatan yang dipanggil ke lokasi kejadian mengesahkan kedua-dua mangsa maut akibat parah di kepala dan badan.

Bagaimanapun, katanya, pemandu dan semua penumpang bas ekspres tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mangsa yang maut dibawa ke Hospital Sarikei untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Saratok, Nazry Mohamat berkata, pasukannya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta berkenaan.

Katanya, bomba terpaksa menggunakan pemotong keluli untuk memotong bahagian kereta yang remuk untuk mengeluarkan mangsa.

Disiarkan pada: July 7, 2018 @ 11:58am
d