mutakhir

Najib dapat layanan istimewa? - NGO

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

PERTUBUHAN bukan kerajaan (NGO) Hak Asasi Manusia membuat laporan polis terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana memberi layanan istimewa kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dilihat bersifat tidak adil kepada tahanan lain.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, hari ini.

Setiausahanya, K Kannis berkata, laporan itu dibuat kerana ketidakpuasan hati terhadap pegawai SPRM yang dikatakan memberi layanan istimewa kepada Najib apabila tidak diberi pakaian tahanan lokap dan tidak digari ketika dibawa ke mahkamah.

"Sebagai rakyat biasa, saya melihat ia tindakan tidak adil untuk tahanan lain seperti Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan bekas pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad.

"Mereka ditahan SPRM sebelum ini memakai pakaian tahanan lokap ketika dibawa ke mahkamah tetapi kenapa Datuk Seri Najib?

"Sepatutnya siapa pun yang ditahan SPRM atas tuduhan penyelewengan atau rasuah harus diberi layanan sama tanpa mengira pangkat," katanya.

Beliau menggesa pihak SPRM memberi penjelasan berhubung perkara itu dan harus menjalankan tugas mengikut undang-undang ditetapkan.

Pada Rabu lalu, Najib yang memakai kot dan berseluar biru gelap kali pertama dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menghadapi empat pertuduhan melakukan pecah amanah jenayah dan rasuah wang berjumlah RM42 juta, membabitkan syarikat SRC International Sdn Bhd.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan dibenarkan jaminan RM1 juta sebelum dua anaknya iaitu Norashman dan Nooryana Najwa membayar jaminan itu.

Lagi berita berkaitan kes Datuk Seri Najib Razak

Disiarkan pada: July 7, 2018 @ 12:20pm
d