mutakhir

Buka bonet, jumpa ular lidah terjulur

Oleh Recqueal Raimi

KOTA BELUD: Seekor

ULAR sawa sepanjang kira-kira satu meter ditemui bersembunyi dalam ruang enjin kereta ketika anak pemilik kenderaan terbabit membuka bonet untuk membersihkan ruang berkenaan, semalam.

Dalam kejadian 8.15 pagi di Kampung Pintasan, Kota Belud, Jakasi, 9, terkejut apabila melihat ular dengan lidah terjulur ke arahnya sejurus membuka bonet.

Secara spontan, Jakasi terus melepaskan bonet dan menjerit sebelum memaklumkan kepada abangnya, Akmadiah, 28, yang berada berdekatan.

Mereka kemudiannya menghubungi Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi mendapatkan bantuan sebelum sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian.

Pegawai APM Unit Kota Belud, Paulina Francis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.20 pagi dan anggota membuka bonet kereta bagi memeriksa kedudukan reptilia itu.

“Anggota APM mengambil masa 16 minit mencari ular berkenaan sebelum ia ditemui bersembunyi di pad brek tayar kiri hadapan kereta terbabit.

“Anggota APM menggunakan penjerut bagi menangkap ular berkenaan. Operasi berjalan lancar dan tamat pada jam 9.04 pagi,” katanya.

Disiarkan pada: July 7, 2018 @ 1:17pm
d