mutakhir

Pencuri telefon bimbit dicekup mangsa

Oleh Mohd Rizal Abdullah

LELAKI terkedu selepas ditahan pemilik telefon yang dicurinya hanya beberapa jam selepas dia menjual telefon pintar itu hanya dengan harga RM20 di Permyjaya, Miri, Selasa lalu.

Suspek berusia 21 tahun itu ditahan pemilik telefon berkenaan selepas ternampak suspek berhampiran tempat kerja mangsa pada 11.30 malam.

Menurut sumber, suspek dikesan menceroboh bilik sewa mangsa iaitu lelaki berusia 35 tahun dan melarikan telefon berkenaan pada hari sama suspek ditahan.

Sumber itu berkata, suspek dikenal pasti hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV)di bilik sewa mangsa selepas dia dicari.

“Menerusi rakaman CCTV, suspek dilihat menceroboh masuk melalui cermin tingkap bilik sewa berkenaan sebelum melarikan diri dengan telefon bimbit mangsa,” katanya.

Katanya, bagaimanapun, suspek dilihat berhampiran tempat kerja mangsa tidak lama kemudian.

“Mangsa kemudiannya terus mengejar suspek dan suspek berjaya ditahan tidak jauh dari lokasi berkenaan.

“Bagaimanapun, suspek sudah menjual telefon berkenaan hanya dengan harga RM20 kepada seorang individu beberapa jam selepas dia mencuri peranti berkenaan,” katanya.

Katanya, suspek kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan kejadian dan berkata siasatan lanjut mengenai pembabitan suspek dalam kes curi di daerah ini giat dijalankan.

Disiarkan pada: July 7, 2018 @ 4:38pm
d