mutakhir

Hendak saman, terpulanglah - Mohd Shukri

Oleh Rizanizam Abdul Hamid; Syed Umar Arif dan Esther Landau

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, beliau sedia berdepan tindakan saman daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan membiarkan mahkamah menentukannya.

“Hendak saman, terpulanglah. Biar mahkamah yang tentukan,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Media semalam melaporkan, Najib mengemukakan saman sivil terhadap tiga penyiasat kanan yang mengendalikan siasatan terhadap dana berbilion ringgit dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Usahanya itu dilihat cuba menutup kritikan awam terhadap dakwaan bahawa beliau memainkan peranan besar dalam kes terbabit.

Memetik laporan Reuters, melalui tindakan balas perundangan itu, Najib selaku plaintif menyaman tiga pegawai tertinggi yang terbabit dalam siasatan skandal 1MDB.

Mereka yang dinamakan selaku defendan adalah Mohd Shukri; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh dan Peguam Negara, Tommy Thomas.

Melalui tiga saman sivil difailkan pada 30 Jun lalu tetapi hanya ditunjukkan kepada agensi berita itu pada Rabu lalu, peguam Badrul Abdullah yang mewakili Najib mendakwa ketiga-tiga individu terbabit bertindak secara prejudis terhadap anak guamnya sepanjang tempoh siasatan.

Badrul yang mengetuai salah satu daripada dua firma guaman mewakili Najib berkata, ia berdasarkan kepada kenyataan terdahulu dibuat ketiga-tiga individu berkenaan.

“Kami memohon mahkamah memutuskan sama ada terdapat unsur konflik kepentingan di kalangan individu mengendalikan kes ini,” kata Badrul kepada Reuters.

Badrul berkata, anak guamnya turut menuntut kos dan perintah lanjut serta ‘relief’ lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Sementara itu, Mohd Shukri berkata, siasatan berhubung kes 1MDB kini memberi fokus terhadap baki 50 peratus bukti dari luar negara selepas bukti dalam negara hampir 100 peratus siap.

Beliau berkata, keseluruhannya, pihaknya membahagikan bukti kepada 50 peratus bukti dalam negara dan sebahagian lagi dari luar negara.

“Untuk bukti dalam negara, kita sudah hampir 100 peratus siap.

“Jadi sekarang ini, kita tumpukan 50 lagi bukti dari luar negara pula,” katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau ditemui selepas menghadiri program Perasmian Penutupan ‘Walk Stop Talk: Six Hours Quarter Million Messages’ oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan lsmail di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz dan Pengarah Sektor Hal Ehwal Pelajar & Hubungan Luar lnstitut Pendidikan Guru Malaysia (lPGM) Tengku Adli Raja Omar.

Mohd Shukri berkata demikian sebagai reaksi bagi memperincikan kenyataannya semalam yang memberitahu siasatan berhubung 1MDB sudah 50 peratus selesai.

Kenyataan beliau itu mengundang persoalan sedangkan pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dibuat pada 4 Julai lalu berhubung pemindahan RM42 juta ke dalam akaun peribadi beliau dari bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Disiarkan pada: July 7, 2018 @ 7:53pm
d