mutakhir

Jangan hina bahasa kebangsaan

Oleh Helmy Abd Rahman dan Zaid Salim

“Menolak bahasa rasmi adalah satu pencabulan terhadap Perlembagaan negara,” kata Presiden Alumni Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kebangsaan, Syed Anuar Syed Mohamad.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Peguam Negara, Tommy Thomas yang enggan menggunakan bahasa Melayu bagi perbicaraan kes salah guna kuasa dan rasuah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Syed Anuar berkata, beliau kesal apabila permintaan menggunakan bahasa Inggeris dalam perbicaraan itu datang daripada seorang Peguam Negara yang seolah-olah sengaja menafikan bahasa Melayu yang diiktiraf sebagai bahasa rasmi negara ini.

“Perlembagaan negara sudah meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, justeru segala urusan negara sama ada yang rasmi atau tidak, wajib menggunakan bahasa Melayu.

“Jadi apabila peguam negara yang minta, ini satu benda yang pelik... negara lain pun sama ada Jepun, Amerika dan sebagainya, mereka menggunakan bahasa rasmi negara mereka.

“Perbuatannya (Thomas) itu jelas mencabul bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara,” katanya ketika ditemui di Kuala Terengganu, semalam.

Sehubungan itu, beliau berharap hakim yang mengendalikan apa sahaja kes di negara ini menjalankan perbicaraan menggunakan bahasa Melayu.

“Seandainya hakim melayani kehendaknya (Thomas), saya bimbang akan berlaku perkara lain sama ada sistem kehakiman atau pun perhubungan yang lain akan menjadi kebiasaan menggunakan bahasa Inggeris dan ia tidak baik untuk negara.

“Kalau kita sendiri tidak hormat kepada bahasa kebangsaan, jangan harap warganegara lain akan menghormati kita,” katanya.

Menurutnya, penggunaan bahasa Inggeris atau bahasa lain di mahkamah hanya boleh dikecualikan kepada saksi atau pesalah sahaja yang meminta untuk menggunakan bahasa lain atau pun pihak mahkamah boleh menyediakan jurubahasa.

“Ini Peguam Negara, bukan pesalah atau saksi jadi dia secara tidak langsung sudah mencemarkan bahasa Melayu,” katanya.

Ditanya sama ada penggunaan bahasa Melayu perlu diselaraskan di semua mahkamah di negara ini termasuk Sabah dan Sarawak, beliau berkata, tiada pengecualian dalam hal berkenaan.

“Mengiktiraf Perlembagaan negara bermaksud taat pada keluhuran perlembagaan iaitu satu daripada prinsip Rukun Negara.

“Bermakna, tidak ada negeri yang boleh dan negeri yang tidak boleh atau ada institusi yang boleh dan ada institusi yang tidak boleh (menggunakan bahasa Melayu), perbuatan itu tetap mencabul Perlembagaan negara... itu jelas.” katanya.

Disiarkan pada: July 8, 2018 @ 11:50am
d