mutakhir

Denda jika rahsia penemuan kapal karam

Oleh Olivia Miwil

ORANG ramai khususnya penyelam perlu melaporkan kepada pihak berkuasa apabila menemui bangkai kapal di mana-mana lokasi di perairan negara.

Mengikut Seksyen 211(b) Ordinan Perkapalan Saudagar 1960, pihak terbabit yang gagal melaporkan penemuan itu boleh dikenakan didenda sebanyak RM2,000.

Difahamkan, ini khususnya kepada pihak yang dengan sengaja merahsiakan penemuan khazanah terbabit, kemungkinan bagi tujuan tertentu termasuk mendapatkan barangan daripada bangkai kapal karam berkenaan.

Pengarah Jabatan Laut Sabah, Norjipin Saidi, berkata, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Muzium, Jabatan Perikanan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam pengurusan kapal karam di perairan negeri ini.

Katanya, muzium biasanya akan mengendalikan bangkai kapal karam berusia 50 tahun ke atas untuk nilai sejarah.

"Bagi Jabatan Perikanan, ia akan menggunakan struktur kapal karam sebagai terumbu buatan (bagi menarik ikan). Pada tahun sebelum ini, ia bekerjasama dengan Maritim Malaysia untuk menenggelamkan kapal KM Kuraman di perairan Taman Tunku Abdul Rahman," katanya kepada NSTP.

Selepas kerja salvaj kapal karam Perang Dunia Kedua milik Jepun di perairan Usukan, Kota Belud, tahun lalu, Norjipin berkata, jabatan itu tidak menerima sebarang permohonan kerja lain daripada mana-mana pihak.

"Mengikut Ordinan sama, jabatan boleh mengambil alih bangkai kapal yang tidak dituntut dan melupuskannya jika tiada maklum balas daripada pemilik selepas notis 30 hari dikeluarkan," katanya.

Mengenai pengeluaran permit untuk pengendali menyelam atau penyelam untuk ke tapak kapal karam, Norjipin berkata, ia di luar bidang kuasa jabatan itu kerana tanggungjawab utama jabatannya adalah untuk memastikan keselamatan pelayaran kapal di laut.

Norjipin berkata, 30 bangkai kapal karam ditemui di sepanjang perairan negeri ini berdasarkan laporan diterima oleh Jabatan Laut Sabah sehingga kini.

Tujuh kapal karam masing-masing ditemui di dasar laut perairan Kudat dan Sandakan, Tawau (lima), Kota Kinabalu (empat) dan masing-masing satu bangkai kapal di perairan Lahad Datu, Semporna, Sipitang, Beaufort, Menumbok serta Kuala Penyu.

"Rekod berhubung penemuan bangkai kapal karam terbabit adalah berdasarkan maklumat disampaikan orang awam termasuk penyelam," katanya.

Semalam, akhbar terbitan NSTP melaporkan Kudat berpotensi muncul sebagai lokasi lubuk aktiviti menyelam selepas dasar lautnya didakwa banyak terdapat bangkai kapal karam yang mempunyai nilai sejarah tersendiri, namun belum diketahui umum.

Pihak berkuasa, penduduk, kumpulan penyelam dan ahli sejarah mempunyai sebab untuk mempercayai terdapat banyak bangkai kapal yang masih boleh ditemui di kawasan perairan berhampiran Kudat kerana ia adalah laluan utama kapal suatu masa dulu.

Pada masa sama, Duta Pelancongan Malaysia untuk Menyelam, Clement Lee berkata, promosi berlebihan ke atas bangkai kapal karam di perairan Sabah akan memberi risiko kepada artifak bersejarah itu terdedah kepada pencuri, atau pencari harta karun di dasar laut.

Disiarkan pada: July 8, 2018 @ 11:59am
d