mutakhir

Ajal selepas sambut 'birthday' rakan

Oleh Abdul Rahemang Taiming

MALAM sambutan ulang tahun kelahiran teman bertukar tragedi bagi Dicson Lim Kien Shing, seorang daripada empat mangsa maut dalam kemalangan, hari ini.

Anak bongsu dari tiga beradik yang juga pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jambatan Putih Tawau, dikatakan meraikan sambutan hari jadi rakannya di tempat lain, sebelum melepak bersama kawan-kawan lain di kawasan parkir di Jalan Chong Thienn Vun.

Dicson, 16, meninggal di tempat kejadian bersama tiga lelaki lain dalam nahas 1.15 pagi tadi akibat dirempuh pemandu mabuk yang turut melanggar tiga lagi kenderaan yang parkir di kawasan terbabit.

Difahamkan, keempat-empat yang maut dan seorang lelaki patah kaki, adalah dari kumpulan yang berbeza dan tidak saling mengenali.

Sepupu mangsa Vu Chung Nam, 20, berkata, sebelum kejadian Dicson ada mengajaknya untuk keluar bersama bagi meraikan hari jadi rakannya, namun tidak dapat menyertainya kerana terpaksa menghadiri majlis lain.

"Kami semua terkejut apabila mengetahui dia (Dicson) meninggal dunia kerana dia seorang yang baik, peramah dan amat disenangi rakan-rakan," katanya kepada NSTP, disini.

Sementara itu, abang mangsa Dearen Lim Kien Vui, 20, meluahkan rasa terkejut melihat kelibat adiknya dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di kawasan kejadian.

Menurutnya, dia tidak mengetahui kejadian kemalangan membabitkan adiknya sehinggalah dia menerima panggilan telefon daripada rakan memaklumkan perkara terbabit, sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik sampai, saya lihat mayat Dicson sudah terbaring, sebelum anggota polis menutupnya menggunakan kain kanvas," katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Tawau, di sini.

Dalam pada itu, abang kepada mangsa lain yang turut maut di lokasi kejadian, Christal Wong Vun Peng, 24, berkata, dia kesal dengan pemandu kereta Toyota Vios yang memandu dalam keadaan mabuk sehingga mengorbankan nyawa adiknya, Clawence Wong Vun Kit, 21.

"Ada ramai saksi yang lihat kereta dipandu sangat laju sebelum hilang kawalan sehingga mengakibatkan kemalangan ngeri ini.

"Saya berharap suspek pemandu akan mendapat hukuman setimpal dan menjadi pengajaran kepada orang ramai supaya tidak memandu ketika mabuk," katanya.

Berita berkaitan:

4 maut dirempuh pemandu mabuk

Disiarkan pada: July 8, 2018 @ 2:42pm
d