mutakhir

Dua maut di LPT2 [METROTV]

Oleh Rosli Ilham

DUA termasuk seorang kanak-kanak maut, manakala seorang lagi parah apabila Proton Wira dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar besi penghadang jalan dan terbalik dalam kejadian di Kilometer 334.3, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), Dungun, hari ini.

Dalam kejadian 11.40 pagi, Mohamad Nor Mohamad, 28, dari Felda Keratong 2 dan Syed Namirul Putra Syed Khairul Hissham, 11, maut serta-merta di tempat kejadian akibat parah di bahagian kepala dan badan.

Bapa Syed Namirul Putra, Syed Khairul Hissham Md Akhir, 45, yang parah, dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila Proton Wira dipandu Mohamad Nor dipercayai terbabas ke arah kiri lebuh raya sebelum melanggar besi penghadang jalan dan terbalik.

Akibat insiden itu, Mohamad Nor dan Syed Namirul yang duduk di bahagian belakang tercampak keluar dari kereta berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar AMBS, Jawari Awang ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan 11.47 pagi.

"Pasukan kami dengan kekuatan lima anggota dan satu jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan berkenaan.

"Setibanya di lokasi kejadian, bomba mendapati kedua-dua mangsa yang tercampak keluar sudah meninggal dunia, manakala seorang lagi mangsa yang tersepit di tempat duduk penumpang hadapan dikeluarkan orang ramai," katanya.

Jaswari berkata, mayat kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun.

"Mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: July 8, 2018 @ 3:56pm
d