mutakhir

Deposit sifar, rebat menarik pengunjung

Oleh Nor Farhani Che Ad

MELIHAT kepada keperluan semasa, Hunza Properties Berhad menawarkan konsep kediaman yang unik buat pelanggan dalam Pameran Hartanah MyRumah 2018 yang berlangsung sejak Jumaat lalu.

Penolong Pengurus Cawangan Bertam, M Faizal Abdul Rahman berkata, kediaman yang merangkumi lebih 200 unit yang terletak di Kepala Batas itu dilengkapi dengan pelbagai ciri menarik termasuklah menawarkan kediaman banglo jenis zero lot.

“Kami membawakan produk yang berbeza dengan mengetengahkan konsep keindahan alam semula jadi selain mempunyai persekitaran yang lebih privasi buat pembeli.

“Ciri lain, kami menyediakan tempat letak kereta yang lebih luas yang boleh memuatkan tiga kereta dengan cetakan konkrit lantai.

“Malah, pelbagai kemudahan tambahan disediakan seperti pemasangan hos pendingin hawa bersama paip, saliran air panas dilengkapi dengan simpanan air panas di tandas bilik tidur utama, punca kuasa pagar automatik serta reka bentuk rumah yang menarik mengikut model rumah tertentu," katanya.

M Faizal berkata, rumah yang bermula pada harga RM439,000 sehingga RM558,000 itu hanya mengenakan bayaran deposit sebanyak RM1,000 dengan diskaun lima peratus kepada pelanggan yang hadir ke pameran ini.

“Kami menawarkan deposit yang rendah selepas mengambil kira masalah masyarakat hari ini yang ingin memiliki kediaman sendiri namun mempunyai pelbagai komitmen maka deposit akan ditolak daripada 10 peratus harga rumah atau dikembalikan sekiranya pembiayaan tidak diluluskan," katanya.

Sementara itu, Sepakat Mewah Sdn Bhd pula menawarkan 145 unit kondominium bermula harga RM688,000 sehingga RM800,000 serta 39 unit lot kedai dari RM700,000 dan ke atas yang terletak di Sungai Nibong.

Pengurus Bahagian Projek Jualan, Vincent Koay, berkata kawasan kediaman yang ditawarkan berdekatan dengan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) yang sedang dibina.

“Sepanjang tiga hari pameran, kami menawarkan rebat sebanyak tujuh peratus dengan tambahan tiga peratus pembayaran balik kepada pelanggan serta sifar bayaran pendahuluan," katanya.

Pameran Hartanah MyRumah 2018 anjuran The News Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) berlangsung selama tiga hari yang akan berakhir hari ini dan bermula dari 10 pagi sehingga 10 malam.

Disiarkan pada: July 8, 2018 @ 7:02pm
d