mutakhir

Pengantin cilik pulang ke Thailand

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

KANAK-kanak perempuan yang dilaporkan berkahwin dengan peraih getah baru-baru ini, kini berada di Kota Bharu dan menunggu urusan kembali ke Thailand.

Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkata, ibu kepada kanak-kanak berusia 11 tahun berkenaan memaklumkan anaknya dijangka dibawa pulang dalam jangka masa terdekat.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuat lawatan ke rumah keluarga berkenaan dan memberi kaunseling dua kali.

“Kanak-kanak itu dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Krai pada 4 Julai lalu.

“Pakar Kesihatan Kanak-Kanak Hospital Kuala Krai mengesahkan tiada tanda mencurigakan atau menunjukkan kanak-kanak itu pernah didera atau dicederakan.

“Bagaimanapun, laporan penuh belum dikeluarkan lagi,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Kenyataan berkenaan menyebut, KPWKM akan terus memantau perkembangan kanak-kanak itu dan kes terbabit turut mendapat perhatian khusus Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri

Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail.

Pasangan itu didakwa berkahwin di sebuah masjid di Kampung Padang Nyor berdekatan Sungai Golok, Thailand, 18 Jun lalu.

Disiarkan pada: July 9, 2018 @ 12:16am
d