mutakhir

Kak Wan 'solid' [METROTV]

Oleh Nadia Hamid dan Nor Ain Mohamed Radhi

Kuala Lumpur: Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak akan bertanding jika suaminya yang juga Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dicalonkan sebagai Presiden pada pemilihan parti Ogos depan.

“Tidak...,” katanya ketika diajukan soalan sama ada beliau akan undur diri andai Anwar bertanding untuk jawatan Presiden PKR.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri menafikan wujud perebutan jawatan Presiden PKR antara beliau dan Anwar.

“Belum ada keputusan sama ada saya akan bertanding atau tidak (Presiden). Terpulang kepada kepemimpinan tertinggi untuk putuskan, kena bincang.

“Suami (Anwar) adalah Ketua Umum PKR. Beliau lebih ‘kanan’ berbanding Presiden,” katanya.

Beliau bercakap ketika sidang media di Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Kajang, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga menafikan wujud dua kem antara puak Azizah dan Anwar.

“Tiada lagi kem. Saya menafikan sekeras-kerasnya ada kem Azizah dan kem Anwar. Kita satu team (pasukan),” katanya.

Ketika ditanya keinginan akar umbi termasuk Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin yang mahu Anwar bertanding jawatan Presiden pada pemilihan parti itu bulan depan, Dr Wan Azizah tidak melatah.

Katanya, PKR mengamalkan demokrasi dan ahli boleh mencalonkan siapa sahaja Presiden pilihan mereka.

Kelmarin, media melaporkan PKR dilanda dilema menjelang pemilihannya Ogos depan apabila wujud dua kumpulan yang menyokong pencalonan ke jawatan Presiden.

Satu pihak mahu Dr Wan Azizah dikekalkan manakala satu lagi mahukan Dr Wan Azizah berundur dan memberi laluan kepada Anwar sebagai persediaan menggantikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, dipetik sebagai berkata, pihak yang mahu Dr Wan Azizah kekal berdasarkan rekod memimpin parti selama 20 tahun dan berjaya memperoleh 47 kerusi Parlimen pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14), terbesar dalam Pakatan Harapan (PH).

Kumpulan akar umbi PKR dipercayai mahukan Anwar sebagai Presiden kerana melihat kesesuaian beliau menjadi Perdana Menteri atas kapasiti sebagai Presiden parti berbanding Ketua Umum.

Sementara itu, perlembagaan PKR membenarkan Dr Wan Azizah bertanding jawatan Presiden untuk sepenggal lagi.

Disiarkan pada: July 9, 2018 @ 11:06am
d