mutakhir

Asing 30% pendapatan untuk tabung hartanah

Oleh Nor Farhani Che Ad

Sungai Petani: Memiliki rumah sendiri impian setiap individu namun kekangan dalam pengurusan wang menyebabkan ramai tidak mampu membeli hartanah itu.

Pengurusan wang yang tidak cekap menyebabkan ramai pemilik rumah terpaksa membiarkan rumah mereka dilelong disebabkan tidak mampu membayar pembiayaan bulanan.

Penasihat Pejuang Hartanah Shamsurizam Norsham berkata, pemilikan hartanah memerlukan 30 peratus daripada pendapatan utama dan ia perlu diasingkan bagi mengelakkan pemilik hartanah hidup dalam kesengsaraan.

“Kebanyakan orang bersemangat untuk memiliki rumah sendiri, tetapi tidak mampu mencapainya kerana tidak mempunyai wang mencukupi.

“Bagi yang sudah memiliki rumah pula, ada yang perlu berjimat cermat sehingga terpaksa mengikat perut kerana tidak dapat menguruskan kewangan dengan baik,” katanya dalam sesi perbincangan bertajuk Tabung Hartanah pada Pameran Hartanah MyRumah NSTP 2018 di sini, semalam.

Shamsurizam berkata, mereka yang mempunyai hasrat memiliki kediaman sendiri perlu meletakkan sasaran memulakan simpanan di dalam tabung hartanah masing-masing dan mula memperoleh sumber kewangan tambahan.

Katanya, pendapatan sampingan boleh diperoleh melalui perniagaan sama ada dalam talian mahupun di luar talian.

“Perniagaan juga boleh dilakukan dengan menjual produk digital mahupun fizikal bergantung kepada kemampuan masing-masing.

“Menyimpan secara disiplin dilihat mampu melindungi diri, liabiliti dan aset sekiranya berlaku kematian, selain membantu melangsaikan hutang sebelum membuat pelaburan hartanah,” katanya.

Disiarkan pada: July 9, 2018 @ 11:44am
d