mutakhir

Empat cedera bas persiaran rempuh lori

Oleh Rosman Shamsudin

EMPAT warga emas cedera apabila bas persiaran dinaiki terbabit kemalangan dengan lori di Kilometer 367.6 arah selatan, Lebuh Raya Utara Selatan dekat Tanjung Malim, awal pagi hari ini.

Kemalangan berlaku pada 1.10 pagi apabila bas persiaran membawa 22 penumpang itu melanggar belakang lori dipandu perlahan di lorong kiri jalan.

Keempat-empat warga emas berusia antara 66 hingga 79 tahun dan berasal dari Taiping itu hanya mengalami luka dan menerima rawatan pesakit luar.

Manakala pemandu bas berusia 47 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata ketika kejadian terdapat 22 penumpang termasuk empat warga emas itu yang menaiki bas dalam perjalanan dari arah utara ke selatan.

Beliau berkata, pemandu lori terbabit tidak memberhentikan kenderaan selepas kejadian itu dan polis sedang giat melakukan usaha mengesan lori dan pemandu terbabit.

“Bas persiaran itu rosak di bahagian hadapan kiri manakala cermin hadapan dan lampu pecah, sementara cermin sisi kenderaan itu rosak,” katanya.

Disiarkan pada: July 9, 2018 @ 12:21pm
d