mutakhir

'Saya menyesal terlanjur'

Oleh Nur Saliawati Salberi

“BUAT rakan sebaya di luar sana, janganlah sesekali terjerumus dan ulangi kesilapan (terlanjur) yang pernah saya lakukan ini, amat perit untuk laluinya ditambah pula dengan pandangan serong masyarakat,” luah penghuni Sekolah Harapan, Jasin yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 16.

Remaja itu dihantar ke sekolah berkenaan oleh keluarganya selepas terlanjur dengan teman lelakinya dan mengandung anak luar nikah pada Februari lalu.

Siti berkata, kerana perasaan sayang pada teman lelakinya, dia sanggup melakukan perbuatan yang tidak sepatutnya sehingga dia mengandung dan kini menjadi ibu di usia muda.

“Ibu saya sangat kecewa apabila diberitahu mengenai berita buruk ini dan jika boleh, saya tidak sanggup mengingat kembali apa yang keluar daripada mulutnya pada waktu itu.

“Alhamdulillah, marah ibu tidak berpanjangan dan saya amat bertuah kerana dia boleh menerima anak saya dan kami akan membesarkannya bersama-sama,” katanya yang baru seminggu melahirkan anak perempuan.

Dia berkata, menjadi penghuni Sekolah Harapan merubah kehidupan hariannya apabila perlu hidup berdikari, selain perlu mengurus anaknya yang baru dilahirkan.

“Pada awalnya dihantar ke sini, setiap hari saya menangis, pertama kali berjauhan daripada keluarga selain memikirkan perut yang semakin membesar dan keadaan ketika itu amat tertekan,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, seorang lagi penghuni yang mahu dikenali sebagai Aida, 14, berkata, sikap liarnya menjerat diri apabila dia mengandungkan anak rakan abangnya yang juga jiran sebelah rumah.

Dia turut mengakui kehidupannya amat bebas walaupun ketika itu berusia 13 tahun dan kini sudah insaf dan serik apabila diri diuji.

“Kami tinggal berjiran dan boleh dikatakan setiap hari dia akan berada di rumah saya, sebelum kami membuat keputusan menjadi pasangan kekasih.

“Hubungan kami bermula dengan melakukan perkara-perkara yang menghampiri zina sehingga akhirnya kami terlanjur,” katanya yang kini menunggu hari untuk melahirkan anak.

Aida yang juga anak bongsu daripada dua beradik berkata, dia hanya mengetahui mengandung apabila usia kandungan sudah mencecah tiga bulan.

“Memang tidak terfikir untuk menggugurkan kandungan ini, cukuplah sekali saya melakukan dosa. Apabila berada di sini, kehidupan lebih terurus selepas saya mempelajari ilmu agama dan menunaikan solat.

“Walaupun teman lelaki ada menyuarakan hasrat untuk berkahwin dan kami bersama-sama akan menjaga bayi ini kelak, namun ia satu keputusan yang sukar kerana pastinya anak saya memerlukan kehidupan sempurna,” katanya.

Disiarkan pada: July 9, 2018 @ 3:09pm
d