mutakhir

[UPDATE] Angkara dendam rupanya...

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

DENDAM sejak lebih dua tahun lalu dipercayai motif pergaduhan yang menyebabkan kematian seorang lelaki dalam kejadian di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Perkasa, Kuala Lumpur, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, lelaki berusia 53 tahun maut selepas pengsan ketika bergaduh dengan tiga adik beradik lelaki yang juga jirannya.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya sudah menahan empat individu termasuk seorang wanita berusia 67 tahun yang juga ibu kepada adik beradik berkenaan berusia antara 42 hingga 46 tahun.

"Berdasarkan siasatan awal, mangsa dan keluarga suspek mempunyai konflik sejak lebih dua tahun lalu akibat beberapa masalah yang timbul sebelum ini hingga mencetuskan pergaduhan malam tadi.

"Kejadian ini masih dalam siasatan berlandaskan undang-undang walaupun mangsa yang dikatakan menyerang mereka terlebih dahulu melainkan tindakan dibuat adalah langkah untuk mempertahankan diri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Katanya, keempat-empat suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 15 Julai nanti bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

NSTP melaporkan lelaki terbabit yang dipercayai kurang siuman dikatakan cuba menyerang adik beradik berkenaan dengan membawa kayu di tempat letak kereta PPR itu.

Ketika pergaduhan itu, lelaki terbabit pengsan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Difahamkan terdapat kesan lebam pada muka suspek.

Berita berkaitan:

Maut selepas berkelahi di parkir

Disiarkan pada: July 9, 2018 @ 4:34pm
d