mutakhir

JKM selamatkan gelandangan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

SERAMAI 19 gelandangan warga emas diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam tempoh dua minggu pelaksanaan program ‘Food Bank’ dan ‘Food Aid’.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, mereka yang berusia antara 60 tahun itu ditemui tinggal di kaki lima di sekitar daerah ini.

Beliau berkata, pihaknya turun padang bertemu gelandangan dan memberikan makanan sejak program berkenaan dilancarkan pada 28 Jun lalu.

Katanya, seramai 14 warga emas berjaya diselamatkan apabila bersetuju untuk tinggal di rumah kebajikan pada minggu pertama manakala lima gelandangan diselamatkan pada minggu berikutnya.

“Kami bukan hanya memberi makanan kepada mereka tetapi kami berusaha mendapatkan maklumat peribadi dan memujuk untuk tinggal di rumah kebajikan berdaftar dengan JKM.

“Soal siasat mendapati kebanyakan warga emas hidup terbiar dan menjadi gelandangan kerana mempunyai masalah keluarga sama ada perselisihan faham atau diabaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di tapak projek pembinaan Rumah Seri Kenangan (RSK) di Jalan Han Hui Foong di Seremban, hari ini.

Turut hadir Pengarah JKM negeri, Mohamad Hapil dan Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Seremban, Mohd Kamal Mohd Yusof.

Sementara itu, Nicole yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang berkata, projek membangunkan semula rumah kebajikan warga emas RSK berkenaan kini siap 48 peratus.

Katanya, projek di atas tapak asal berkeluasan 1.7 hektar yang membabitkan kos lebih RM37 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun hadapan.

Bangunan yang boleh menempatkan sehingga 300 penghuni itu akan dilengkapi asrama lelaki dan wanita, surau, bilik mayat, dewan makan serta kuarters kakitangan.

Disiarkan pada: July 9, 2018 @ 4:40pm
d