mutakhir

'Bawa pulang duit itu'

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

BADAN Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (Mywatch) menggesa wang berjumlah RM1 juta milik Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd yang tidak dituntut dibawa pulang ke negara ini dan disalurkan kepada Tabung Harapan Negara.

Pengerusinya, Datuk R Sri Sanjeevan berkata, pihak berkuasa Australia membekukan akaun bank milik Wan Ahmad Najmuddin berikutan terdapat transaksi meragukan pada Mac lalu.

Katanya, AUD$10,000 (RM32,000) dimasukkan ke dalam akaun miliknya melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di beberapa wilayah di Australia dan bagi tempoh sebulan ia mencecah RM1 juta.

"Pihak berkuasa Australia mengesyaki wang itu hasil aktiviti meragukan dan hingga ke hari ini, kes tidak dibawa ke mahkamah. Empat bulan sudah berlalu namun belum dituntut dan alasan diberi adalah kos mengendalikan kes begitu tinggi," katanya.

Sri Sanjeevan berkata, jika Wan Ahmad Najmuddin tidak memerlukan wang itu, seeloknya ia dibawa pulang ke negara ini bagi membantu mereka memerlukan.

"Antara yang dapat dilakukan adalah menyumbang wang terbabit ke Tabung Harapan Malaysia bagi meringankan beban hutang negara," katanya.

Menurut Sanjeevan, beliau menyatakan kesudian membiayai kos guaman bagi mengendalikan kes dan jika menang kes, ia milik Tabung Harapan Negara.

"Saya dengan ikhlas hati memberi tawaran ini dan menunggu jawapan pihak berkaitan (Wan Ahmad Najmuddin)," katanya.

Disiarkan pada: July 9, 2018 @ 4:41pm
d