mutakhir

Pegawai kanan SPRM didakwa beri maklumat palsu [METROTV]

Oleh Siraj Mohd Zaini

SEORANG pegawai kanan kerajaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini, atas dua pertuduhan memberi maklumat palsu kepada kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), tahun lalu.

Tertuduh, Fikri Ab Rahim, 43, pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberi maklumat palsu pada bahagian butiran nama pasangan dalam borang maklumat peribadi kepada seorang kakitangan JAIS, Fatin Afikah Muhamad Mustapa di pejabat JAIS, Bangunan Sultan Idris Shah, Seksyen 5, Shah Alam, pada 4 pagi 16 Disember 2017.

Fikri turut didakwa atas satu lagi pertuduhan memberi maklumat palsu kepada kakitangan JAIS, Mariah Mukhyuddin di tempat, masa dan tarikh sama.

Berikutan itu, Fikri didakwa mengikut Seksyen 177 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Difahamkan, ketika kejadian, Fikri bertugas sebagai Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucutan Harta (AMLFOP) SPRM.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muaz Ahmad Khairuddin manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin.

Tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan kes disebut semula pada 6 Ogos ini.

Sebelum ini, media melaporkan tertuduh turut didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam atas pertuduhan berkhalwat dengan seorang kakitangan SPRM pada tahun lalu.

Disiarkan pada: July 9, 2018 @ 4:49pm
d