mutakhir

Tiga polis peras ugut Pati dicekup

Oleh Muhammad Apendy Issahak

TIGA anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, ditahan kelmarin selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan memeras ugut seorang warga asing.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman, berkata tiga anggota berpangkat rendah terbabit ditahan susulan laporan polis dibuat mangsa yang juga warga Bangladesh berusia 30-an.

Beliau berkata, berdasarkan laporan berkenaan, anggota polis terbabit dipercayai melakukan kegiatan memeras ugut mangsa yang tiada dokumen perjalanan sah.

“Kejadian dikatakan berlaku di tepi jalan di kawasan Pokok Asam, Taiping pada Sabtu lalu dan mangsa membuat laporan selepas diperas ugut.

“Polis kemudian menjalankan siasatan dan mendapati ada asas bagi menahan ketiga-tiga anggota berkenaan yang dipercayai memeras ugut mangsa sebanyak RM4,000,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh, hari ini.

Terdapat 15 gerai membabitkan semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Jabatan IPK Perak yang menyajikan pelbagai juadah.

Tetamu kehormat adalah Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Zulkifli Abdullah dan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan.

Yahya berkata, mangsa membuat laporan polis selepas membayar wang kepada anggota polis berkenaan dan mendakwa boleh mengecam semua yang terbabit memeras ugutnya serta kenderaan digunakan.

Beliau berkata, semua anggota berusia 20 hingga 40 tahun itu direman tiga hari hingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana pemerasan.

“Polis turut melakukan proses kawad cam terhadap ketiga-tiga anggota berkenaan dan akan mengambil tindakan tatatertib,” katanya.

Disiarkan pada: July 9, 2018 @ 7:25pm
d