mutakhir

Tiada lagi duta daripada ahli politik - Saifuddin

Oleh Norrasyidah Arshad

TIADA ahli politik yang akan dilantik menjadi duta selepas ini, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah

Beliau sebaliknya berkata, pelantikan duta akan dibuat dalam kalangan pegawai yang berminat serta tahu berkenaan tugas sebagai duta.

“Mesti dalam kalangan diplomatik yang terlatih dan mampu menjalankan tugas mereka dengan baik.

“Ini juga cara mengelakkan (masalah) politik berlaku,” katanya ketika ditemui di Shah Alam, hari ini.

Terdahulu, Saifuddin dijemput menjadi tetamu program Bicara Minda ‘Malaysia Baharu’ anjuran Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan (PH) berkata, duta baharu yang akan dilantik perlu mengikut proses yang ditetapkan.

“Wisma Putra memang sudah ada kaedah lantikan (duta) dan pegawai yang berminat boleh memohon.

“Berkenaan status duta sekarang, ia sudah dianggap selesai selepas seorang daripadanya sudah pulang dan seorang lagi mengesahkan akan pulang,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan beberapa duta Malaysia yang juga lantikan politik kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini, diberikan notis pengosongan jawatan.

Mereka termasuk Duta Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan Duta Malaysia ke Vatican, Tan Sri Bernard Dompok.

Disiarkan pada: July 9, 2018 @ 7:45pm
d