mutakhir

Tak boleh sembrono ubah Perjanjian Air 1962

Oleh BERNAMA

SINGAPURA akan mematuhi sepenuhnya terma Perjanjian Air 1962 dengan Malaysia, termasuk harga air yang termaktub di bawah perjanjian itu dan berharap Malaysia juga akan berbuat demikian, akhbar The Straits Times melaporkan hari ini.

Laporan itu yang memetik Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan di Parlimen hari ini berkata, perjanjian 1962 itu ‘bukan perjanjian biasa’.

“Perjanjian Air 1962 dijamin oleh Singapura dan Malaysia di bawah Perjanjian Pemisahan 1965 yang kemudian didaftarkan dengan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

“Sebarang pelanggaran Perjanjian Air 1962 akan menyebabkan Perjanjian Pemisahan yang menjadi asas bagi kewujudan Singapura sebagai sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat dipersoalkan,” katanya.

Dr Balakrishnan menarik perhatian bahawa menteri-menteri luar terdahulu telah menegaskan mengenai pendirian Singapura tentang isu ini secara komprehensif iaitu Profesor S Jayakumar pada 2003 dan K Shanmugam pada 2014.

Seperti ditegaskan ketika itu, isu utama ialah bukan berapa banyak kita bayar tetapi bagaimana sebarang semakan harga diputuskan, katanya lagi.

“Baik Malaysia mahupun Singapura tidak boleh secara bersendirian mengubah terma perjanjian ini antara kedua-dua negara kita,” katanya.

Menurut laporan tersebut, ia membabitkan kos RM2.40 bagi Singapura untuk merawat setiap 1,000 gelen air.

Selepas itu, dengan menjualnya kepada Malaysia pada harga 50 sen, Singapura menyediakan subsidi sebanyak RM1.90 bagi setiap 1,000 gelen.

Setelah membeli air yang telah dirawat, Johor kemudian menjualnya kepada rakyat pada harga RM3.95 bagi setiap 1,000 gelen, dengan memperoleh keuntungan RM3.45 bagi setiap 1,000 gelen atau RM46 juta setahun, kata laporan tersebut.

Bulan lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan mengkritik perjanjian air itu sebagai ‘terlalu mahal’ dan kemungkinan mahu merundingkan semula perjanjian itu.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata harga baharu itu mungkin sama dengan harga air mentah yang ditetapkan bagi kerajaan Melaka iaitu 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.

Menurut perjanjian air antara Malaysia dan Singapura, yang tempohnya berakhir pada 2061, Malaysia membekalkan kepada Singapura 250 juta gelen air mentah sehari pada harga 3 sen setiap 1,000 gelen.

Malaysia kemudian membeli semula sebahagian daripada air yang telah dirawat pada harga 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.

Disiarkan pada: July 9, 2018 @ 8:35pm
d