mutakhir

Gempar tengok awan 'ombak besar'

Oleh Mohd Nazllie Zainul

FORMASI awan luar biasa kelihatan seperti ‘ombak besar’ dan ‘puting beliung’ di beberapa daerah di pantai barat Sabah, menggemparkan penduduk, hari ini.

Keadaan gumpalan awan berkenaan disedari antara 7 hingga 7.30 pagi iaitu ketika cuaca mendung sebelum disusuli hujan lebat.

Penduduk di Beaufort, Jamal Djupri, 37, berkata beliau melihat awan berkenaan sewaktu berada di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beaufort ketika mahu memulakan sesi pembelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan bersama 25 pelajar sekitar 7.10 pagi.

“Fenomena ini bukanlah kali pertama dilihat, malah keadaan sama pernah berlaku pada tahun lalu dan 2016.

“Cuaca ketika itu mendung serta sedikit berangin. Bagaimanapun, selepas berlaku gumpalan ini kira-kira lima minit, hujan lebat berlaku seperti hari ini,” katanya.

Gambar formasi gumpalan awan luar biasa itu dikongsi secara meluas di laman sosial khususnya Facebook, Twitter dan aplikasi WhatsApp.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah, Azmi Daud, berkata fenomena awan kelihatan seperti ombak pada hari ini dikenali sebagai garis badai Borneo atau kumpulan ribut petir dan tidak membahayakan.

Beliau berkata, keadaan itu terbentuk di perairan dan persisiran pantai sekitar barat Sabah pada awal pagi akibat tiupan angin dari arah laut yang menyebabkan awan kelihatan bergulung-gulung seperti ombak.

“Ia boleh berlaku akibat tiupan angin Barat Daya sewaktu ke daratan menjelang pagi.

“Kami menjangkakan cuaca mulai akan kembali normal menjelang petang dan fenomena ini berlaku di negeri Sabah sebelum ini,” katanya.

Disiarkan pada: July 10, 2018 @ 11:45am
d