mutakhir

15 pelayar belayar dari Lumut ke KK

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Kota Kinabalu: Berdepan ribut sehingga terpaksa berlindung di sebalik pulau ketika pelayaran antara cabaran dilalui Leftenan Komander Mohamad Hamdan Mohd Shamsuddin sebelum tiba di bandar raya ini pada 3 Julai lalu.

Bermula 27 Jun lalu, Mohamad Hamdan mengetuai 15 pelayar yang belayar menggunakan bot layar Utarid dari Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut di Perak menuju di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

Menceritakan kembali pengalamannya, Mohamad Hamdan berkata, sebelum tiba di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada jam 1 pagi, 3 Julai lalu itu, keadaan paling mencabar diharungi mereka apabila ribut melanda secara tiba-tiba di perairan Pulau Mengalum berhampiran Pulau Gaya di sini.

“Ketika itu, kami hanya menggunakan layar utama dan perlu mengawal bot supaya bot tidak mudah terbalik sebelum berlindung di Pulau Sepanggar untuk beberapa jam.

“Selepas keadaan kembali tenang, barulah kami meneruskan pelayaran ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu,” katanya.

Beliau ditemui media pada majlis sambutan ketibaan bot layar Utarid TLDM dari Armada Barat ke Armada Timur yang disempurnakan Panglima Logistik Timur Laksamana Ir Ow Kiat Bin di Pusat Kecemerlangan Perahu Layar Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Teluk Sepanggar di sini, semalam.

Disiarkan pada: July 10, 2018 @ 12:12pm
d