mutakhir

Ceti haram warga Vietnam

Oleh Faris Fuad

Kuala Lumpur: Jika sebelum ini aktiviti ceti haram atau along dikuasai warga tempatan namun agak mengejutkan apabila warga asing Vietnam dikesan turut menjalankan kegiatan sama di negara ini.

Mereka dikesan menawarkan pinjaman dengan kadar bunga tinggi kepada warga asing yang bekerja di negara ini.

Terbaru seorang wanita berusia 21 tahun menjadi mangsa peras ugut along Vietnam susulan tindakannya menjadi orang tengah terhadap urusan pinjaman wang tanpa lesen itu.

Pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong, berkata mangsa, Le Thi Kim Dung yang berasal dari Vietnam dan berkahwin dengan lelaki tempatan terjebak selepas memperkenalkan 12 warga Vietnam kepada along terbabit.

Menurutnya, mangsa sebelum ini memperoleh komisen selepas semua 12 pendatang asing itu meminjam wang daripada along terbabit.

“Bagaimanapun semua 12 individu itu ditahan pihak Jabatan Imigresen dan dihantar pulang ke negara asal pada Mei lalu.

“Akibatnya wanita itu diburu along terbabit dan dipaksa melangsaikan hutang 12 individu itu berjumlah RM230,000,” katanya.

Beliau berkata Kim Dung hidup dalam ketakutan selepas menerima mesej ugutan daripada along menerusi WhatsApp pada 2 Julai lalu.

“Along mendesak mangsa membayar hutang secepat mungkin sekiranya tidak mahu keselamatan keluarganya diancam,” katanya pada sidang media di Wisma MCA di sini.

Turut hadir, Kim Dung dan suaminya, Chiang Jung Chong yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini, semalam berhubung ancaman along itu.

Pada masa sama, Michael Chong berkata, pihaknya menerima laporan 194 kes along membabitkan jumlah hutang RM17.3 juta, sejak awal Januari 2018 hingga awal Julai ini.

“Sekarang ada trend baru warga asing di Malaysia beroperasi dan berkerja sebagai along.

“Saya tidak tolak kemungkinan selepas ini wujudnya perniagaan along dijalankan warga Bangladesh dan China,” katanya.

Disiarkan pada: July 10, 2018 @ 12:16pm
d