mutakhir

[UPDATE] Bayi dicampak akhirnya meninggal dunia

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

BAYI lelaki yang baru dilahirkan dan dicampak dari tingkat dua bangunan di Jalan Hentian 4, Hentian Kajang, Kajang pada 24 Jun lalu, meninggal dunia, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, pihaknya dimaklumkan oleh doktor yang merawatnya di Hospital Kajang mengenai kematian bayi berkenaan pada 4.53 pagi.

“Akibat kecederaan parah dialami, bayi berkenaan disahkan meninggal dunia pada 4.53 pagi Sabtu lalu ketika dalam rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital terbabit.

“Suspek yang juga ibu kandung mangsa berusia 22 tahun sudah dituduh di Mahkamah Seksyen Kajang pada 6 Julai lalu mengikut Seksyen 307 dan 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menyebabkan kecederaan terhadap bayi dan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi masih hidup.

“Bagaimanapun, kami akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi membuat pindaan tuduhan terhadap suspek mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh selepas bayi berkenaan meninggal dunia sehari selepas dia dituduh di mahkamah,” katanya.

Sebelum ini, NSTP melaporkan seorang bayi lelaki dicampak oleh pekerja wanita warga Indonesia dari tingkap bilik air rumah di tingkat dua bangunan di Jalan Hentian 4, Hentian Kajang, pada 24 Jun lalu.

Bayi berkenaan terjatuh mengenai bumbung restoran sebelum ditemui di atas jalan berhampiran besi konkrit di belakang restoran berkenaan pada 5 petang.

Berita berkaitan

'Keadaan bayi lelaki kembali kritikal'

[UPDATE] Alhamdulillah, bayi malang kini stabil...

[UPDATE] 'Panik tengok bayi itu kebiruan'

'Tergamak kau campak bayi... [METROTV]'

Disiarkan pada: July 10, 2018 @ 12:51pm
d