mutakhir

JIM gempur sarang pelacuran warga asing

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

SERAMAI 25 wanita warga asing yang menawarkan khidmat seks di Jalan Petaling, Kuala Lumpur ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Ops Gegar, semalam.

Dalam operasi jam 5 petang itu, JIM turut menahan 12 lelaki terdiri daripada tujuh warga asing, empat lelaki tempatan dan seorang lelaki berstatus penduduk tetap (PR) termasuk 'bapa ayam' serta penjaga premis.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, serbuan dilakukan Unit Operasi Khas (QRT), Bahagian Risikan, Operasi Khas dan Analisa JIM Putrajaya membabitkan lima premis di Jalan Petaling.

Katanya, tangkapan pelacur berkenaan membabitkan 18 warga Indonesia, Bangladesh (4), Sri Lanka (1) dan dua lagi menggunakan kad pengenalan pemastautin sementara.

“Dalam operasi itu, pasukan serbuan tidak mendapat kerjasama dengan pemilik premis yang diperiksa di mana penjaganya enggan membuka pintu.

“Justeru, kita terpaksa memecahkan pintu beberapa premis di situ sebelum menemui beberapa wanita warga asing yang bekerja sebagai pelacur bersembunyi di dalamnya,” katanya ketika dihubungi.

Mustafar berkata, dalam operasi hampir satu jam itu, pihaknya turut berjaya menemui beberapa wanita yang bersembunyi di ruang khas di premis terbabit.

“Di premis pertama, JIM menahan dua wanita Indonesia, dua wanita memegang kad pemastautin sementara, dua lelaki tempatan yang juga penjaga premis serta seorang lelaki Myanmar yang sedang mendapatkan khidmat pelacuran.

“Manakala di premis kedua pula, JIM menahan sembilan wanita Indonesia selain dua lelaki warganegara Myanmar, dua lelaki Bangladesh dan dua lelaki Myanmar," katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, di premis ketiga, JIM menahan dua wanita Bangladesh, seorang wanita Indonesia dan seorang wanita warga Sri Lanka,” katanya.

Katanya, pihaknya menahan empat wanita Indonesia, seorang wanita Bangladesh dan seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai penjaga premis di premis keempat.

“Di premis terakhir yang diserbu, JIM menahan dua wanita Indonesia, seorang wanita Bangladesh, seorang lelaki tempatan disyaki bekerja sebagai bapa ayam serta dua pelanggan iaitu seorang lelaki Bangladesh dan seorang lelaki berstatus PR.

“Kesemua mereka ditahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai pas atau permit yang sah," katanya.

Menurutnya, ketika serbuan dijalankan, beberapa bapa ayam yang melarikan diri dengan pacuan empat roda bersama pelacur turut bertindak nekad cuba melanggar pegawai dan anggota QRT terbabit.

Bagaimanapun, katanya, pegawai dan anggota penguat kuasa bernasib baik kerana sudah menduga tindakan berkenaan sekali gus berjaya menahan mereka.

Berita berkaitan

'Rumah cinta' kalis serbuan

Disiarkan pada: July 10, 2018 @ 7:05pm
d