mutakhir

Wak Jam buat pasport palsu nampak tulen [METROTV]

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

JABATAN Imigresen Malaysia menumpaskan satu sindiket dikenali Sindiket Wak Jam yang bergiat aktif dalam pemalsuan pasport dan cap keselamatan imigresen.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, sindiket berkenaan ditumpaskan dalam serbuan dilakukan di Kampung Lindungan, Petaling Jaya, Selangor, pada 10 malam tadi.

Beliau berkata, sindiket terbabit terkenal dalam kalangan warga asing dengan pelanggan tetap pula kebanyakannya dari Indonesia.

“Dalam serbuan berkenaan, kami menahan seorang lelaki warganegara Indonesia berusia 58 tahun yang disyaki menjadi dalang utama dalam pemalsuan dokumen.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek mempunyai kad Pemastautin Tetap (MyPR) dan berkemahiran dalam pengubahsuaian pasport terutama dari Indonesia,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Mustafar berkata, suspek mendedahkan sindiket itu sudah bergiat aktif dalam pemalsuan dokumen sejak lima tahun lalu dan mengaut keuntungan RM50,000 sebulan.

Beliau berkata, suspek mengenakan bayaran RM50 bagi setiap cap manakala RM100 hingga RM200 untuk pengubahsuaian pasport.

“Suspek terbabit mempunyai kemahiran tinggi dalam pengubahsuaian pasport dan cap imigresen kerana 95 peratus daripada permukaan pasport terbabit nampak seperti tulen.

“Bahan kimia digunakan untuk membuat pasport berkenaan adalah pewarna tiruan pandan dan merah yang biasa masyarakat gunakan untuk membuat kuih.

“€œNamun, kebijaksanaan suspek mencampurkan semua pewarna dan bahan kimia terbabit menghasilkan pasport seperti ‘tulen’. Namun dengan kecekapan dan teknologi yang ada kepada imigresen, kita dapat menumpaskan sindiket terbabit,” katanya.

Beliau berkata, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 55D dan Seksyen 56(1A) Akta Imigresen 1953/63 serta Seksyen 12(1)(a) Akta Pasport 1966.

Menurutnya, pihaknya merampas 22 cap masuk ke Malaysia palsu, sembilan cap keluar Malaysia palsu, dua cap pas Khas Malaysia palsu, dua cap keluar Singapura palsu, dua cap masuk Singapura palsu, satu cap masuk Thailand palsu, 14 cap masuk Indonesia palsu dan 21 cap keluar Malaysia palsu.

Selain itu, katanya, pihaknya turut merampas enam cap rasmi Kedutaan Indonesia palsu, 11 pasport Indonesia, 38 koyakan muka surat biodata pasport Indonesia, 11 pelekat tulen Pas Lawatan Kerja (Kerja Sementara) yang diubah suai, dua telefon bimbit, dan beberapa alatan untuk membuat dokumen palsu.

Disiarkan pada: July 10, 2018 @ 7:54pm
d