mutakhir

Kerajaan Perak sedia bantu Al-Barakah

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

KERAJAAN negeri bersikap terbuka untuk mengadakan perbincangan pada bila-bila masa dengan pengurusan Pusat Pendidikan Al-Barakah jika mereka memerlukan bantuan.

Pengerusi Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Perak Asmuni Awi berkata, setakat ini pihaknya tidak mengetahui masalah kewangan pusat terbabit yang memaksa pengasas dan pengetuanya, Datuk Kazim Elias mahu menjual Unit Tahfiz di sekolah itu.

Katanya, kerajaan negeri tidak menerima sebarang makluman atau laporan daripada sesiapa termasuk dari Kazim sendiri.

“Kalau mahu bantuan tidak ada masalah, boleh jumpa terus dengan saya, saya pun tak tahu masalah mereka sebab mereka pun tak pernah berhubung dengan saya.

“Sesiapa pun boleh jumpa dengan saya, bukan Al-Barakah sahaja. Kita (kerajaan negeri) akan lihat keperluan, kalau kita boleh bantu, kita akan bantu selesaikan,” katanya.

Datuk Kazim atau dikenali sebagai Ustaz Kazim ketika ditemui NSTP hari ini mengesahkan akan menjual Unit Tahfiz Al Barakah di Pusat Pendidikan Al-Barakah miliknya disebabkan tidak mampu menampung kos pentadbiran pusat berkenaan.

Keputusan sedih itu terpaksa diambil Ustaz Kazim berikutan tidak mampu untuk menampung kos pentadbiran keseluruhan yang mencecah RM150,000 sebulan.

Ustaz Kazim turut memaklumkan masalah itu disebabkan beliau kurang menerima jemputan kuliah serta ceramah agama kerana kos pentadbiran pusat berkenaan digunakan melalui pendapatan diperolehnya.

Beliau mengakui sejak kebelakangan ini seperti ada usaha menyekat ceramahnya atau ceramahnya dibatalkan dan dihalang hingga tidak mampu menampung Al Barakah.

Sementara itu, Asmuni turut menegaskan kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan menghalang mana-mana penceramah agama termasuk Ustaz Kazim daripada menerima jemputan berceramah di masjid dan surau di negeri ini.

Katanya, pengurusan jawatankuasa kariah masjid dan surau di seluruh negeri masih berfungsi di bawah lantikan kerajaan terdahulu.

Berita berkaitan

Ustaz Kazim terpaksa jual sekolah tahfiz [METROTV]

Disiarkan pada: July 10, 2018 @ 7:56pm
d