mutakhir

Kos projek LRT3 disemak semula

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

KEMENTERIAN Kewangan sudah mengarahkan Prasarana Malaysia (Prasarana) menyemak semula kos projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) bernilai RM31.45 bilion.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, kos keseluruhan projek perlu disemak akibat kelemahan pengurusan projek oleh Prasarana, yang memerlukan pengurangan kos yang drastik untuk memastikan LRT3 lebih kos efektif dan berdaya maju.

Katanya, kerajaan tidak akan menyokong sebarang pembiayaan tambahan jika tiada pengurangan kos LRT3 yang drastik, namun pada masa sama tidak menjejaskan integriti jajaran rel, keselamatan dan kualiti perkhidmatan yang diberikan.

“Terdapat beberapa laporan media bahawa kos LRT3 boleh dikurangkan sebanyak RM6 bilion. Kementerian ingin menegaskan bahawa kos projek perlu dikurangkan jauh lebih daripada RM6 bilion supaya projek ini dapat diteruskan.

“Sebelum ini, Prasarana memperolehi jaminan kerajaan untuk meminjam RM10 bilion untuk membiayai projek ini.

“Bagaimanapun, pada 30 Mac lalu, Prasarana meminta jaminan tambahan sebanyak RM22 bilion bagi membiayai pinjaman untuk menyiapkan projek LRT3 ini,” katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, projek LRT3 adalah projek utama bagi menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas dalam satu koridor pembangunan ekonomi dan kepadatan penduduk yang pesat.

“Jajaran LRT3 adalah kritikal kerana ia menawarkan perkhidmatan LRT yang meliputi kepadatan penduduk seramai dua juta orang di sepanjang koridor jajaran dan menampung kapasiti seramai 36,700 penumpang sejam setiap hala,” katanya.

Disiarkan pada: July 10, 2018 @ 8:07pm
d