mutakhir

16 kematian sektor 3D [METROTV]

Oleh Mohd Sabran Md Sani

Johor Bahru: Statistik Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri menunjukkan sektor pekerjaan yang sukar, kotor dan berbahaya (3D) menyumbang kepada sebahagian besar kes kematian terutama di tapak pembinaan.

Pengarahnya, Saiful Azhar Mohd Said berkata, sebanyak 16 daripada 26 kes kematian dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini membabitkan sektor berkenaan.

“Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, 26 kes kemalangan maut berlaku di tempat kerja.

“Daripada jumlah berkenaan, 16 kematian membabitkan sektor pekerjaan 3D terutama di tapak bina,” katanya pada sidang media sempena majlis Pelancaran Program Workplace Accident Free Week (WAFEW) 2018 Peringkat Johor di Taman Setia Tropika di sini, semalam.

Program di tapak pembinaan Elata Vita itu diadakan sempena Minggu Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (KKKP) yang berlangsung dari 9 hingga 15 Julai ini.

Majlis pelancarannya disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan Johor Dr S Ramakrishnan.

Program itu bertujuan mempromosikan budaya pencegahan kemalangan dan penyakit pekerjaan di tempat kerja, selain memberi pendedahan kepada majikan dan pekerja mengenai aspek keselamatan dan kesihatan.

Saiful Azhar berkata, antara punca kemalangan maut ialah terjatuh dari tempat tinggi dan tersepit pada jentera kendalian.

“Kemalangan maut ini juga berpunca daripada kegagalan pemaju serta majikan memastikan tahap keselamatan di tempat kerja mematuhi peraturan ditetapkan hingga mengundang risiko bahaya kepada pekerja,” katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, 38 majikan didakwa di mahkamah atas kesalahan berkaitan keselamatan dan kesihatan menerusi pemeriksaan di 20,703 tempat kerja dan jentera sehingga Jun lalu.

“Berdasarkan jumlah itu, JKKP Johor mengeluarkan 1,163 surat arahan, manakala 1,199 notis dan 73 kesalahan kompaun,” katanya.

Menurutnya, majikan dan pekerja perlu menerapkan amalan budaya kerja selamat dan sihat bagi menurunkan kadar kemalangan pekerjaan.

Disiarkan pada: July 11, 2018 @ 10:54am
d