mutakhir

Risiko kawasan rekreasi [METROTV]

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Manjung: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mempertimbangkan untuk menjalankan kajian penyusunan kategori dan tahap risiko di lokasi rekreasi tumpuan pengunjung termasuk kawasan gua.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, ia sebagai langkah keselamatan dalam usaha memberi maklumat kepada pengunjung mengenai tahap risiko di sesebuah lokasi rekreasi khususnya bagi aktiviti air, hutan dan gunung.

“Mungkin ada satu panduan sebelum mereka (pengunjung) masuk (seperti) perlu ada kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis untuk ke kawasan berkenaan supaya keselamatan mereka dipantau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat lawatan kerja ke ke Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohammad Hamdan Wahid dan Pengarah JBPM Perak, Datuk Yahaya Madis.

Zuraida diminta mengulas mengenai keperluan mengkategorikan kawasan rekreasi berisiko susulan kejadian 12 budak lelaki dan jurulatih pasukan bola sepak remaja Thailand terperangkap dalam gua di negara itu.

Beliau berkata, Perak antara negeri yang mempunyai bilangan gua yang banyak selain aktiviti air menjadi tarikan pengunjung di negeri ini yang perlu diberi perhatian.

“Sebagai contoh di Pengkalan Hulu (ketika aktiviti dijalankan) ada guru ke sana menggunakan garis panduan bomba untuk memandu mereka, jadi sekiranya terjadi apa-apa bantuan boleh diuruskan,” katanya.

Disiarkan pada: July 11, 2018 @ 11:11am
d