mutakhir

TH sedia kaunter jualan kad sim prabayar

Oleh Daripada Tuan Asri Tuan Hussein

KAUNTER pendaftaran kad sim prabayar adalah perkhidmatan terbaru disediakan pasukan petugas Tabung Haji (TH) di Madinah, yang kini sudah 80 peratus bersedia untuk menerima kehadiran jemaah haji Malaysia dengan kumpulan pertama dijadual tiba Sabtu ini.

Pengarah Operasi TH di Madinah, Affandi Abdullah berkata, kemudahan itu disediakan pihaknya hasil kerjasama dengan sebuah syarikat telekomunikasi tempatan STC untuk memberi lebih keselesaan kepada jemaah haji Malaysia.

Menurutnya, kaunter jualan kad sim prabayar itu akan dibuka di sembilan bangunan penginapan jemaah haji Malaysia di Madinah yang mampu memuatkan 9,661 orang pada satu masa.

“Kad sim STC ini akan dibekalkan secara percuma. Jemaah hanya perlu membuat pendaftaran di kaunter dan membayar mengikut jumlah kredit di dalam kad sim atau mengikut jumlah kredit isian semula mereka.

“Untuk mendaftar, jemaah hanya perlu membawa kad pengenalan diri haji dan tidak perlu membawa pasport. Dengan kemudahan ini, jemaah tidak perlu lagi pergi ke premis syarikat telekomunikasi dan beratur panjang untuk membeli kad sim prabayar,” katanya dalam pertemuan dengan media Malaysia di Pejabat Operasi TH di Madinah, hari ini.

Affandi berkata, kumpulan pertama jemaah haji Malaysia seramai 483 orang dijadualkan tiba dengan pesawat Airbus A380 di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz di Madinah, pada 10 pagi Sabtu ini.

Menurutnya, pada tahun ini, 45 peratus daripada keseluruhan 30,200 jemaah haji dari Malaysia akan masuk ke Madinah terlebih dulu sebelum bergerak ke Makkah untuk menyempurnakan pelaksanaan ibadah haji.

“Jemaah akan berada di Madinah selama lapan hari sebelum berangkat ke Makkah.

“Untuk menguruskan mereka, seramai 187 daripada keseluruhan 600 petugas haji tahun ini ditempatkan di Madinah,” katanya yang juga Naib Konsul ibu pejabat TH di Jeddah.

Beliau berkata, seperti tahun sebelum ini kemudahan lain disediakan TH di bangunan penginapan jemaah haji Malaysia di Madinah ialah rawatan kesihatan, kaunter pengeluaran wang, maklumat ibadah, sesi kaunseling dan perkhidmatan penghantaran bagasi.

Disiarkan pada: July 11, 2018 @ 2:14pm
d