mutakhir

'Sampai mati pun takkan maaf'

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

PEMANDU lori patah lutut kanan ketika cuba menghalang penyamun melarikan kenderaan Toyota Avanzanya di Kampung Pulai Manis, Pekan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Amran Sidek berkata, mangsa, Ab Aziz Mohd, 52, yang terjatuh selepas berpaut pada cermin bahagian penumpang keretanya turut cedera di paha dan tangan kiri dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Beliau berkata, dalam kejadian 8.15 pagi itu, mangsa bersama isterinya berusia 50 tahun sedang mencari durian di kebunnya di Kampung Pulau Manis.

“Ketika mangsa bersama isteri mengutip durian di kebun berkenaan, tiba-tiba dia terdengar bunyi enjin kenderaan miliknya dihidupkan.

“Mangsa kemudian mengejar dan memecahkan cermin bahagian penumpang dengan menggunakan parang lalu berpaut pada pintu kenderaan.

“Penyamun terbabit tidak memberhentikan kenderaan dan terus mengheret mangsa yang kemudiannya terpaksa melepaskan tangannya kerana bimbangkan keselamatannya,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Amran berkata, polis menemui kenderaan mangsa 500 meter dari lokasi kejadian dan masih memburu dua penyamun terbabit yang melarikan diri dengan menaiki Perodua Kembara.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun mendatangkan kecederaan.

Sementara itu, anak mangsa, Muhammad Ashri Ab Aziz, 26, ketika dihubungi berkata, penyamun itu turut membawa lari wang tunai RM900 bersama telefon bimbit milik ibunya yang berada di dalam kenderaan berkenaan.

“Ayah sempat berpaut pada cermin kereta bahagian penumpang dalam usaha menghalang penyamun melarikan Toyota Avanzanya.

“Namun, penyamun bertindak kejam apabila terus memecutkan kenderaan sehingga menyebabkan ayah diseret beberapa meter.

“Penjenayah berkenaan melarikan wang tunai RM900 bersama telefon bimbit milik ibunya yang berada di dalam kenderaan berkenaan.

“Sampai mati sekalipun saya tidak akan maafkan 'sampah masyarakat' itu dan berharap dapat ditangkap dengan segera,” katanya.

Menurutnya, keadaan ayahnya dilaporkan stabil, namun tidak dapat bercakap banyak kerana masih sakit terutama di bahagian lutut kanan.

Disiarkan pada: July 11, 2018 @ 2:36pm
d