mutakhir

'Harap darah jadi penyambung nyawa'

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

“SAYA menderma darah sejak 1981 dan berharap bakti tidak seberapa ini dapat menjadi penyambung nyawa kepada mereka yang memerlukan,” kata Sarjan Mejar Mohd Zaini Ahmad, anggota polis di Bahagian Audit Dalam Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menjadi warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) paling banyak menderma darah kepada Pusat Darah Negara.

Sehingga kini, Mohd Zaini sudah menderma darah 260 kali dan mengakui ia sudah menjadi sebahagian rutin kehidupannya biarpun sibuk dengan tugas sebagai warga PDRM.

Berkongsi kisah mengenai derma darah yang menjadi rutin kehidupannya, Mohd Zaini berkata, ia bermula apabila seorang pegawai kerap menasihatinya serta rakan lain untuk menderma darah berikutan pada ketika itu, Pusat Darah Negara kesuntukan bekalan darah.

“Pada 1981 ketika baru menyertai polis, ada seorang pegawai kerap menasihati saya dan rakan lain untuk menderma darah kerana kurangnya penyumbang darah di negara ini.

“Atas nasihatnya itu, saya mula kerap menderma darah sebelum melakukannya secara konsisten setiap dua minggu sekali sehingga kini,” katanya ketika ditemui di Program Derma Darah Sempena Peringatan Hari Polis Ke-211 di Dewan Theatrette Menara 1, Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Mohd Zaini antara tiga warga PDRM yang mendapat penghargaan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun kerana banyak menderma darah kepada Pusat Darah Negara.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Pengarah Pusat Darah Negara, Dr Noryati Abu Yamin.

Turut mendapat penghargaan adalah Asisten Superintendan Mohd Reimie Sudirman yang sudah menderma darah sebanyak 131 kali sejak 1997 dan Inspektor Mohamad Nizan Mohamad Nor yang menderma darah sebanyak 98 kali sejak 1999.

Mohd Reimei berkata, rutin menderma darah itu dilakukan ketika menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Jalan Semarak.

“Selain berkhidmat sebagai polis menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, saya tidak tahu bagaimana untuk membantu masyarakat kerana sibuk dengan tugas seharian.

“Jadi, saya harap dengan darah saya derma ini dapat menolong mereka yang memerlukannya,” katanya.

Dalam program bermula 8 pagi itu, seramai 400 pegawai dan anggota polis hadir menderma darah.

Sementara itu, Mohamad Fuzi berkata, PDRM sudah menjadikannya sebagai program tahunan sejak 2006 apabila menyambut Hari Polis.

“Kami berharap ia dapat membantu mencukupkan tabung darah di Pusat Darah Negara.

“Ini kerana, kami dimaklumkan setiap hari, Pusat Darah memerlukan sekitar 2,000 beg darah bagi kegunaan 1,000 pesakit di seluruh negara,” katanya.

Disiarkan pada: July 11, 2018 @ 6:44pm
d