mutakhir

Api sudah menjulang keluar melalui tingkap - saksi

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

SEORANG saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dia melihat api sudah menjulang keluar dari tingkap Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah dan mendengar orang menjerit meminta tolong dari tingkap di pusat tahfiz berkenaan.

Muhammad Hafizmullah Muhd Nor, 30, yang juga anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Keramat berkata, dia dan lima lagi rakannya setugasnya tiba di tempat kejadian pada jam 5.47 pagi, 14 September 2017 untuk memulakan tugas memadam kebakaran selepas menerima panggilan dari Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat.

“Api sudah menjulang keluar melalui tingkap Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah sebaik saja bomba sampai di sana.

“Saya kemudian dengar orang jerit meminta tolong dari tepi tingkap tingkat tiga pusat tahfiz berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, saksi ke-20 itu memberitahu, beliau dan pasukannya yang diketuai Suhaimi Abdul Shukor, 56, memutuskan untuk memulakan operasi menyelamat terlebih dahulu kerana terdapat mangsa yang terperangkap di dalam kebakaran itu.

“Seorang anggota bomba bernama Osman menyelamatkan seorang lelaki dewasa yang sedang memegang bayi sambil berpaut pada besi kompresor pendingin hawa di tingkat tiga.

“Osman naik menggunakan tangga sebelum membawa bayi itu turun, manakala lelaki berkenaan turun sendiri dengan tangga sama.

“Selepas itu Osman naik semula menyelamatkan seorang wanita dan dua kanak-kanak perempuan. Dia masuk ke dalam bangunan itu melalui tingkap dan membawa turun seorang kanak-kanak menggunakan tangga bomba.

“Dia naik semula dan memecahkan pintu sebelum membawa wanita dan seorang lagi kanak-kanak turun melalui tangga berdekatan tandas,” katanya.

Muhammad Hafizmullah berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Othman Abdullah pada perbicaraan kes dua remaja lelaki yang didakwa bersama-sama membunuh 21 pelajar dan dua warden pusat tahfiz berkenaan.

Kedua-dua remaja itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju di sini antara jam 4.15 pagi dan 6.45 pagi, 14 September tahun lalu.

Kedua-duanya yang kini berusia 17 tahun dan diwakili peguam Haijan Omar masing-masing didakwa atas 23 pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tertuduh di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dalam keterangannya juga, Muhammad Hafizmullah berkata, selepas membawa kelima-lima mangsa yang terselamat itu turun, beliau bersama seorang lagi anggota naik ke tingkat tiga memadamkan kebakaran.

Menurutnya, ketika itu api tidak lagi marak kerana bahan bakar seperti tilam, katil, langsir dan loker sudah berkurangan.

“Saya menggunakan lampu suluh untuk menyuluh kawasan kebakaran sebelum ternampak satu mayat yang pada mulanya saya ingatkan kain buruk,” katanya.

Saksi itu berkata, selepas pihak forensik selesai membuat tanda pada mayat yang dijumpai, beliau dan anggota lain diarahkan untuk membawa mayat itu turut menggunakan pengusung.

“Dalam proses itu, saya bawa turun tiga mayat yang kemudiannya di masukkan ke dalam trak polis,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung hari ini.

Disiarkan pada: July 11, 2018 @ 7:11pm
d