mutakhir

Ada pihak tawar HSR pada separuh harga - Guan Eng

KERAJAAN menerima tawaran pengurangan separuh daripada kos asal pembinaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, tawaran itu diterima selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menyatakan hasrat untuk membatalkan projek mega itu selepas Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan 9 Mei lalu.

Katanya, kerajaan masih belum menerima tawaran rasmi selain membayangkan kos asal pembinaan HSR berjumlah RM110 bilion yang dianggap terlalu tinggi.

“Ada pihak menawarkan separuh daripada kos keseluruhan projek. Kita tidak tahu sama ada ia serius, namun ia membuktikan kosnya memang tinggi,” katanya kepada The Straits Times, hari ini.

Guan Eng berkata, kerajaan terbuka untuk meneruskan projek HSR itu jika kos adalah berpatutan.

“Ada asas untuk melaksanakan projek ini, tetapi bukan pada kos yang terlalu tinggi,” katanya.

Singapura sebelum ini mendakwa, pihaknya terpaksa menanggung kos sedangkan Malaysia tidak memberikan jawapan yang jelas mengenai kedudukannya dalam projek berkenaan.

Dr Mahathir, ketika ditanya mengenai rungutan Singapura itu berkata, republik berkenaan sepatutnya sudah tahu pendirian Malaysia walaupun tidak ada notis rasmi diberikan.

Apabila ditanya jika Malaysia mempunyai pelan berbeza, Guan Eng berkata, satu perbincangan khas akan diadakan dengan Singapura.

The Straits Times juga memetik sumber Kerajaan Malaysia sebagai berkata, kos pampasan untuk membatalkan projek HSR adalah lebih rendah daripada anggaran awal sebanyak RM500 juta, tidak termasuk kos yang sudah dibelanjakan.

Bagaimanapun, kerajaan berpendapat jika Singapura boleh menawarkan pinjaman mudah, ia akan menurunkan kos faedah dengan ketara.

Disiarkan pada: July 11, 2018 @ 10:06pm
d