mutakhir

'Saya pun boleh cakap Tamil...' [METROTV]

Oleh Ahmad Suhael Adnan

KETIKA menunggu minumannya disiapkan, baru-baru ini, Brian Cheong terdengar gadis di kaunter merujuk fizikalnya sebagai ‘gemuk’ dan ‘hodoh’ dalam bahasa Tamil.

Guru Bahasa Inggeris itu bingkas bangun dan menghampiri pelayan itu lalu menegurnya kerana menggunakan istilah menghina pelanggan sepertinya.

“Saya mungkin berketurunan Cina, tapi itu tidak wajar menjadi alasan digelar 'gemuk dan hodoh' dalam apa bahasa sekalipun.

“Saya tegas mengingatkan pelayan itu supaya tidak mencaci pelanggan kerana kita tidak tahu apa yang mereka tahu dan mukanya kaget apabila mendengar saya bercakap dalam bahasa Tamil,” katanya.

Perkongsian menerusi akaun Twitter peribadinya @OhhB_ itu tular dengan lebih 11,000 retweet, selain sokongan netizen serta selebriti seperti Adibah Noor terhadap langkahnya membuat teguran itu, selain kagum dengan kemampuan Brian bertutur pelbagai bahasa.

Malah, ramai yang yang menyifatkannya sebagai individu yang benar-benar menjiwai dan menyelami erti sebenar menjadi rakyat Malaysia, serta mahu mengikut jejak langkahnya mempelajari pelbagai bahasa yang ditutur rakyat negara ini.

Dalam pertemuan dengan NSTP, baru-baru ini, Brian mengakui kecewa kerana masih ada rakyat negara ini yang menganggap rakyat Melayu, Cina dan India hanya fasih berbahasa ibunda masing-masing sahaja.

“Saya tidak sangka perkongsian itu tular. Bukan niat mahu memalukan pelayan itu, tetapi mesej saya jelas iaitu tidak semestinya orang Cina atau kaum lain tak boleh bertutur bahasa Tamil atau apa bahasa pun.

“Ini bukan kali pertama saya berdepan insiden sebegini. Pemikiran kita kena berubah kalau mahu maju,” kata anak jati Kuala Lumpur itu.

Selain bahasa kebangsaan dan Tamil serta Mandarin, Brian turut menguasai dialek Hokkien, Hakka, Hindi dan Punjabi, selain mempelajari bahasa Thai, Vietnam dan Tagalog.

Minatnya mempelajari bahasa bermula ketika di sekolah rendah apabila mendengar guru berbangsa Melayu bertutur dalam bahasa Tamil untuk menarik minat pelajar India dalam kelasnya.

“Jujur saya katakan, kebolehan berbahasa Tamil membolehkan saya mendapatlayanan ‘istimewa’ jika ke kedai mamak, malah ada antara pekerja yang menjadi kawan,” katanya yang turut memuat naik video membuat pesanan makanan dalam bahasa Tamil di Twitter.

Kesungguhan Brian mendampingi masyarakat berbilang kaum turut dizahirkan menerusi amalan berpuasa sepanjang Ramadan yang memasuki tahun kelapan berturut-turut.

“Pelajar saya ramai yang berpuasa, jadi saya sertai mereka sebagai cabaran. Saat paling berharga pastinya saat berbuka bersama-sama rakan,” katanya.

Brian turut memastikan dirinya mengenakan pakaian tradisi jika ke rumah ibadat atau kenduri kaum tertentu, sebagai tanda hormat pada keunikan budaya masing-masing.

“Jika pergi ke majlis perkahwinan rakan berbangsa India atau Melayu, saya akan memakai pakaian tradisional mereka dengan lengkap, termasuk mengikat sendiri sampin dan dhoti.

“Saya memiliki 13 pasang baju Melayu lengkap. Kepelbagaian ini adalah nilai dan identiti rakyat Malaysia yang perlu kita raikan, bukan sekadar menunggu tanggal 31 Ogos untuk menyanyi lagu patriotik dan memasang Jalur Gemilang,” katanya.

Disiarkan pada: July 12, 2018 @ 9:00am
d