mutakhir

2 beranak simpan kura-kura Duri Bukit dijel [METROTV]

Oleh Fitri Nizam

Kuala Terengganu: Dua beranak warga Thailand dijatuhi hukuman penjara dua tahun selepas mengaku bersalah memiliki 13 utas jerat dawai dan menyimpan dua kura-kura Duri Bukit yang dilindungi sepenuhnya tanpa kebenaran.

Tertuduh, Canthi Cantupa, 44, dan anaknya, Pipop Cantupa, 18, yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah atas dua pendakwaan berkenaan sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Tuan Azman Mustapha di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu di sini, semalam.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua beranak terbabit yang ditahan pada 21 Jun tahun lalu di Hutan Simpan Jengai, Dungun didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 kerana menyimpan 13 utas jerat dawai.

Manakala pertuduhan kedua, mereka didakwa atas kesalahan menyimpan dua kura-kura Duri Bukit hidup iaitu hidupan liar yang diperlindungi sepenuhnya tanpa kebenaran.

Tindakan itu satu kesalahan kesalahan mengikut Seksyen 68(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Hakim sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap kesalahan bermula hari tangkapan namun memerintahkan ia dijalankan secara serentak.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu, Zaitup Hazlin Mat Jusoh.

Disiarkan pada: July 12, 2018 @ 11:10am
d