mutakhir

Nota 'maut menanti kamu' [METROTV]

Oleh Siti Sofia Md Nasir

Georgetown: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima daripada DAP, Syerleena Abdul Rashid membuat laporan polis selepas menerima nota ugutan bunuh, kelmarin.

Ugutan ditulis atas sekeping kertas itu ditemui di dalam peti surat Pusat Khidmat wakil rakyat berkenaan di Taman Seri Delima, di sini, jam 3.30 petang kelmarin.

Nota yang tertulis perkataan ‘maut menanti kamu’ itu ditulis tangan menggunakan pen berdakwat merah.

Syerleena berkata, beliau membuat laporan di Balai Polis Jelutong di sini pada jam 7 petang, selepas mengambil kira risiko keselamatan diri dan ahli keluarganya.

“Ini pertama kali saya menerima nota berbaur ugutan bunuh. Biasanya ugutan di laman sosial saja, tetapi ini kes serius.

“Saya berharap polis segera melakukan siasatan dan menahan individu bertanggungjawab,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Syerleena membuat laporan di balai polis sama semalam, berhubung kenyataan fitnah ditulis pemilik akaun Facebook yang mendakwa dirinya anti-Islam dan ingin meruntuhkan institusi keagamaan itu.

Disiarkan pada: July 12, 2018 @ 11:23am
d