mutakhir

Maut langgar kerbau sebelum digilis

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

PELAJAR lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar kerbau yang melintas jalan sebelum mangsa digilis dua kenderaan di Kilometer 41.5 Jalan Maran-Bandar Jengka, Maran, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.30 tengah malam, mangsa, Mohamad Arif Aiman Rahim, 16, berasal dari Rumah Kakitangan FELDA Jengka 2, Maran, maut di tempat kejadian akibat cedera di kepala.

Rakan mangsa yang membonceng, Muhammad Aizudin Nur Rosli, 14, dari FELDA Jengka 2, Bandar Jengka patah bahu kanan dikejarkan ke Hospital Bandar Jengka, untuk mendapatkan rawatan.

Kedua-dua mangsa adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 2.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 1.30 pagi hari ini yang memaklumkan mangsa melanggar kerbau.

“Bagaimanapun, siasatan mendapati Mohamad Arif Aiman digilis dua kenderaan iaitu kereta dan van berdasarkan kesan cedera parah pada badan mangsa serta kesan brek.

“Ketika kejadian kedua-dua mangsa dalam perjalanan menghala ke Maran dari Bandar Jengka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pemandu dua kenderaan yang melanggar mangsa masih belum membuat laporan berhubung kejadian berkenaan.

Norzamri berkata, ketika kejadian keadaan jalan kering dan kawasan gelap kerana tiada lampu jalan.

Beliau berkata, polis memerlukan maklumat daripada saksi bebas yang melihat kemalangan itu bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Disiarkan pada: July 12, 2018 @ 3:22pm
d