mutakhir

PRK Sungai Kandis: UMNO Selangor hantar 4 nama

Oleh Siraj Mohd Zaini

UMNO Selangor mengemukakan empat calon kepada kepemimpinan tertinggi parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, pada 4 Ogos ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Tan Sri Noh Omar berkata, semua calon berkenaan membabitkan wanita dan lelaki daripada gabungan pemimpin lama serta baharu.

Beliau berkata, senarai nama itu diserahkan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk dipertimbangkan dengan sewajarnya.

“Semalam saya jumpa Ahmad Zahid dan bincang dari hati ke hati, saya serahkan rumusan hasil daripada perbincangan dan keputusannya di tangan Presiden.

“UMNO Selangor setuju menggunakan logo UMNO pada PRK ini, namun segalanya bergantung kepada pucuk pimpinan tertinggi parti,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada jemaah haji Parlimen Tanjong Karang di Bangunan UMNO Tanjong Karang, hari ini.

Noh berkata, pihaknya akur sekiranya UMNO meletakkan calon bukan terdiri daripada pemimpin parti mahupun calon luar di kawasan berkenaan.

“Kita akan beri sokongan penuh kepada calon tidak kira siapa pun yang diputuskan parti kelak.

“Kita akan tampil dengan tema baharu ketika berkempen iaitu undi UMNO jika mahu kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji,” katanya.

Dalam pada itu, Noh berkata, beliau masih kekal sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor sehingga Presiden mengumumkan penggantinya dan beliau akan menolak sekiranya dipilih semula.

“Yang pasti bukan saya, saya dah gagal memimpin Barisan Nasional (BN) Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

“Saya beri peluang kepada orang baharu yang ada pendekatan lebih baik berbanding saya untuk mengisi tempat ini,” katanya.

Disiarkan pada: July 12, 2018 @ 5:34pm
d