mutakhir

'Nak berjudi sangat...'

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

DUA lelaki warga emas adalah antara 10 individu yang ditahan dalam serbuan judi Piala Dunia 2018 di sebuah rumah di Jalan Baru Hosapa, Titi di Jelebu, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Kamarul Rezal Jenal berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kegiatan itu dan melancarkan Op Dadu/ Op Soga pada 12.15 tengah malam.

Katanya, operasi diketuai pegawai serbuan, Inspektor Che Wan Mohd Tarmizi Che Wan Abu Bakar dan Inspektor Mohamad Amzar mendapati 10 lelaki berada di rumah berkenaan.

Menurutnya, ketika serbuan, semua lelaki itu leka bertaruh perlawanan separuh akhir antara Perancis dengan Belgium yang dianjurkan lelaki warga emas berusia 74 tahun.

“Selain lelaki ini, seorang lelaki warga emas berusia 65 tahun yang bertindak sebagai pemain turut ditahan.

“Semua individu terbabit berusia 23 hingga 74 tahun termasuk lelaki Bangladesh berusia 32 tahun,” katanya.

Kamarul Rezal berkata, pihaknya merampas semua alatan judi digunakan iaitu buku kecil dan buku nota yang merekodkan pertaruhan, sebuah telefon bimbit, tiga dadu, sebuah piring kecil dan sebuah mangkuk.

Turut dirampas, sehelai kad manila, sekeping plastik alas meja, enam biji domino, sebuah meja kayu dan wang tunai berjumlah RM3,734.

Beliau berkata, judi dikenali sebagai Tai Sai itu memerlukan pemain meneka nombor yang ditulis pada kad manila mewakili negara bertanding.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953.

Disiarkan pada: July 12, 2018 @ 6:19pm
d