mutakhir

Kenapa hanya cari kesalahan kerajaan terdahulu - UMNO

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim

KERAJAAN pimpinan Pakatan Harapan (PH) disifatkan sebagai kerajaan 'vacumm cleaner' (penyedut hampagas) kerana hanya berminat mencari kesalahan kerajaan terdahulu, namun gagal memperkenalkan pakej meringankan beban rakyat.

Unit Komunikasi Strategik UMNO berkata, kerajaan hari ini ibarat pasar ikan, selain menjadi medan tawar-menawar dengan China, Singapura dan negara lain yang secara tidak langsung boleh menjejaskan reputasi Malaysia sebagai negara berdaulat.

Katanya, rakyat masih dibebani kos sara hidup tinggi, harga petrol gagal diturunkan dan potongan elaun, selain didakwa memperkudakan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mencari kesalahan kerajaan terdahulu.

“Lebih dua bulan memerintah, mereka gagal mengumumkan dasar luar seperti amalan mana-mana kerajaan baharu di dunia dan juga menggariskan dasar rangsangan ekonomi yang ingin diperkenalkan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat serta menarik pelaburan asing.

“Adalah tidak keterlaluan jika dikatakan sudah wujud keadaan tidak selesa dalam kalangan rakyat kerana tumpuan berlebihan diberikan kepada kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, semua anggota Kabinet hanya memberikan tumpuan kepada usaha 'pembersihan' ke atas pentadbiran terdahulu, sedangkan rakyat mengharapkan suatu pengumuman yang dapat meringankan beban hidup mereka.

“Dalam kes 1MDB, peguam negara Switzerland, Michael Lauber, yang menemui rakan sejawatnya Tommy Thomas baru-baru ini, menegaskan bahawa siasatannya hanya ke atas enam pegawai kanan 1MDB, dan Datuk Seri Najib Razak tidak terbabit.

“Tetapi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan rakan-rakan mereka percaya bahawa Najib adalah dalang utama kes terbabit dan mengheretnya ke mahkamah tanpa bukti sah.

“UMNO percaya ia sudah dirancang bertujuan memesongkan fikiran rakyat terhadap kegagalannya menunaikan janji dalam manifesto mereka,” katanya.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib sebaliknya berjaya mengotakan 99.4 peratus akujanji dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), manakala PH terus mencari pelbagai alasan untuk mengaburi rakyat.

Taktik PH juga didakwa memakan diri dan menjadikannya 'flip-flop' dengan mengubah keputusan membatalkan beberapa projek besar yang sudah dimeterai oleh BN.

“Sebagai contoh, projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang sudah dibatalkan bulan lalu, 'dibolehkan' oleh Guan Eng jika kosnya dapat dikurangkan.

“Begitu juga dengan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan beberapa projek lain.

“Yang peliknya projek LRT3 diluluskan semula selepas mengurangkan kosnya. Kenapa tidak dikaji dahulu sebelum membuat keputusan membatalkannya? Ini adalah politik gelojoh kuasa,” katanya.

Katanya, mereka menggunakan 'kos tinggi' dan 'jika kos dapat dikurangkan' sebagai alasan utama, tanpa menerangkan angka sebenar bagi projek terbabit.

Disiarkan pada: July 12, 2018 @ 6:49pm
d