mutakhir

Jika ada kes, hak kerajaan pertimbangkan - Gobind

Oleh Tharanya Arumugam

KERAJAAN India perlu menunjukkan kes terhadap pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik untuk beliau diserah balik, sebelum Kerajaan Malaysia mengambil tindakan terhadap pendakwah kontroversi itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, sebarang tindakan terhadap Dr Zakir perlu dilakukan mengikut peruntukan undang-undang.

“Perkara ini dibangkitkan dalam Kabinet semalam dan setahu kami, Kerajaan India sudah menyatakan mereka mempunyai kes .

“Apa yang perlu dilakukan ialah India perlu menyatakan kes mereka. Sudah tentu, sebagai sebuah kerajaan, sebaik kes itu dinyatakan, ia akan dipertimbangkan dalam membuat keputusan sama ada beliau akan dihantar pulang atau sebaliknya.

“Kita perlu mengikut peruntukan undang-undang. Pendirian kita jika ada kes dari mana-mana negara terhadap sesiapa saja, bukan hanya Dr Zakir, kerajaan akan bertindak seperti yang sepatutnya,” katanya kepada media di Pusat Mel Nasional, di Kuala Lumpur, hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata, Dr Zakir tidak akan diserahkan kepada pihak berkuasa India kerana beliau sudah diberikan status penduduk tetap.

Dalam laporan NSTP 10 Jun lalu, Dr Mahathir ketika menjawab soalan media sama ada permohonan Kerajaan India untuk menghantar pulang Dr Zakir akan ditunaikan, mengulang pendiriannya bahawa Kuala Lumpur tidak akan akur dengan sewenang-wenangnya terhadap desakan pihak lain kerana seseorang akan menjadi mangsa.

Semalam, Dr Zakir menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan khususnya Dr Mahathir kerana terus membenarkannya berada di negara ini walaupun ramai pihak mendesak supaya beliau dihantar pulang ke India.

Dr Zakir ‘diserang’ ramai pihak atas dakwaan menghasut dan menggalakkan keganasan.

Disiarkan pada: July 13, 2018 @ 12:11am
d