mutakhir

KP JIM turun padang kejar PATI [METROTV]

Oleh Faris Fuad

KETUA Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Datuk Seri Mustafar Ali turun padang mengejar beberapa lelaki warga Nigeria yang juga pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas mereka mencuba meloloskan diri daripada ditahan pegawai Imigresen.

Ketangkasan Mustafar itu dilihat ketika Ops Mega 3.0 yang disertai kira-kira 150 pegawai Imigresen di pangsapuri di Kepong, Kuala Lumpur, awal pagi hari ini.

Mustafar berkata, beberapa pegawai Imigresen turut mengalami kecederaan selepas dirempuh lelaki berkenaan.

“Pagi ini kita mengejar warga Nigeria, pegawai kita yang dirempuh dan mengalami kecederaan sudah dirawat.

“Semua sedia maklum warga Nigeria ini bertubuh sasa, ada pegawai Imigresen tercampak akibat dirempuh individu itu.

“Selain di Kepong, kita juga jalankan pemeriksaan di pangsapuri di Selayang dan rumah kongsi di kawasan pembinaan di Bukit Jalil.

“Pelbagai gelagat kita dapat tengok, ada yang menyorok celah dinding dan di bawah sofa, sanggup tindihkan sofa di atas badan mereka untuk memastikan tidak dikesan Imigresen,” katanya pada sidang media selepas membuat tinjauan lokasi akhir Ops Mega 3.0, di Bukit Jalil, di sini, awal pagi ini.

Mustafar berkata, daripada 468 warga asing diperiksa, seramai 258 PATI ditahan.

“Di Selayang, kita periksa 185 warga asing dan tangkap 68 PATI di mana 40 daripadanya warga Indonesia dan bakinya Bangladesh.

“Susulan itu, kita periksa 30 orang dan tangkap sembilan PATI di Kepong, empat warga Nigeria, Indonesia (4) dan Filipina (1).

“Di Bukit Jalil pula, kita periksa 253 warga asing, 181 daripadanya ditangkap, warga Indonesia mencatatkan bilangan tertinggi dengan 140 orang, Myanmar (21) dan Bangladesh (20).

“Kesemua PATI berkenaan akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Mustafar berkata, hasil semakan pihaknya mendapati sebahagian besar pasport individu berkenaan sudah tamat tempoh.

“Selepas itu, kita lihat ada yang lari daripada majikan masing-masing dan bekerja di tempat lain, dalam dokumen sepatutnya bekerja di Brickfields tapi sekarang sudah tukar tempat ke Selayang.

“Kita juga dapat kesan kesalahan pemalsuan dokumen, ia sudah menjadi sindiket di Malaysia.

“Atas sebab itu, kita usaha membanteras sindiket itu secara berterusan, seperti yang mana yang kita buat sebelum ini dengan menumpaskan sindiket pasport palsu didalangi warga Indonesia,” katanya.

Disiarkan pada: July 13, 2018 @ 9:20am
d